BAITULMAQDIS - Tentera Iran di Syria menyerang pangkalan luar Israel di seberang sempadan negara itu tengah malam semalam, kata rejim Zionis, mencetuskan antara serangan Israel paling hebat di Syria sejak perang saudara bermula pada 2011.
Serangan terhadap Golan Heights menandakan kali pertama tentera Iran menyerang Israel dari Syria, yang menyaksikan mereka ditempatkan bersama-sama militan Syiah yang dibantu Tehran untuk membantu Presiden Bashar al-Assad dalam perang saudara.
Media Syria berkata, puluhan peluru berpandu Israel membedil stesen radar, kedudukan pertahanan Syria dan tempat buangan peluru, menggariskan risiko peningkatan lebih meluas pembabitan Iran dan sekutu serantaunya.
Jurucakap tentera Israel berkata, serangan Iran dengan kira-kira 20 peluru berpandu atau roket dilakukan Tentera Quds, sayap bersenjata Pengawal Revolusi Iran.
Leftenan Kolonel Jonathan Conricus berkata, Israel memintas 'beberapa' roket dan tiada laporan kematian dan tidak banyak kerosakan berlaku kepada kedudukan Israel.
Serangan berlaku kira-kira 12.10 pagi waktu tempatan.
"Kami membalas serangan tetapi tiada maklumat lanjut mengenai perkara ini," katanya. - Reuters