Isu Memali: Mengapa Pemimpin PAN Membisu?


KUALA LUMPUR – Mengapa bekas pemimpin PAS yang kini bersama gabungan parti pembangkang Pakatan Harapan membisu seribu bahasa apabila Tun Dr. Mahathir Mohamad menghina 14 penduduk kampung Memali, Baling, Kedah yang terkorban pada tahun 1985 sebagai mati katak?

Pengarah Pusat Kajian Politik Malaysia (Mapan), Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr. Kamarul Zaman Yusoff berkata, bekas pemimpin PAS yang menubuhkan Parti Amanah Negara (PAN) untuk bersama Pakatan Harapan kelihatan sangat bacul untuk memprotes kenyataan terbaru Mahathir mengenai peristiwa Memali.

“Bukan setakat Datuk Seri Abdul Hadi (Presiden PAS), malah Almarhum Yusof Rawa, Almarhum Datuk Nik Abdul Aziz dan Almarhum Datuk Fadzil Noor sendiri sangat tegas dan konsisten sekali mempertahankan amanat ini di samping menafikan ia adalah satu bentuk pengkafiran terhadap UMNO.

“Begitu bacul sekali (PAN) untuk mempertahankan pendirian dan perjuangan bapa mereka sedangkan mereka pada masa yang sama tidak segan silu melaungkan kepada dunia kononnya merekalah penerus sebenar legasi bapa mereka,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook semalam.

Mahathir dalam satu ceramah kelmarin mengejek dan menghina umat Islam yang mati dalam peristiwa Memali bukan mati syahid, sebaliknya mati katak dan ucapan beliau itu mendapat sorakan dan tepukan gemuruh penyokong Pakatan Harapan.

Kamarul berkata, Penasihat Umum PAN, Ustaz Ahmad Awang yang pernah memberi hujah mengapa 14 pejuang itu mati syahid dalam satu Mesyuarat Khas Majlis Fatwa Kebangsaan kini seolah-olah bersetuju dengan pandangan Mahathir tersebut.

“Perkara sama turut dinyatakan oleh pemimpin Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Dr. Maszlee Malik, yang menulis pada 1 Januari 2013 bahawa beliau “tidak nampak ada isu mengkafirkan UMNO dalam Amanat Haji Hadi”,” katanya. - Kedahnews.com