Jangan Terpedaya GST Akan Naik


KUALA LUMPUR - Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menempelak pakatan pembangkang yang memfitnah kononnya kadar Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) akan dinaikkan kepada sembilan peratus sekiranya Barisan Nasional (BN) menang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Najib mengingatkan orang ramai agar tidak terpedaya dengan fitnah itu yang disifatkannya sebagai pembohongan besar pembangkang.

Beliau sebaliknya menegaskan GST, yang berkuat kuasa pada 1 April, 2015, kekal pada kadar enam peratus.

“Mereka sebenarnya janjikan pengembalian SST (Cukai Jualan dan Perkhidmatan) 10 + 6%. Pada 9 Mei kalau undi Harapan, 10 Mei mereka laksanakan. Tanyalah mereka,” katanya yang turut memuat naik gambar memaparkan fitnah berkenaan di laman Twitternya. - Bernama