KUALA LUMPUR - Pelakon Janna Nick mengakui, takut didekati lelaki kaya kerana tidak mahu dianggap dirinya mudah dibeli dengan wang ringgit.
Pemilik nama lengkap, Nurul Jannah Muner, 23, itu berkata, jika nanti hatinya terbuka untuk mendirikan rumah tangga, dia lebih selesa mencari lelaki yang sederhana kerana baginya, wang bukan penentu bahagia.
"Memang saya tak pernah meletakkan sasaran untuk berkahwin lelaki kaya. Walaupun tidak semua, tetapi kebanyakan lelaki kaya sering berfikiran semua wanita boleh diperdaya dengan wang ringgit.
"Lagipun, saya memang tidak bergaul dengan golongan seperti itu, malah mereka dapat berasakan saya sangat sukar dijerat dengan kemewahan.
"Saya tidak kisah jika bakal suami nanti tidak kaya. Asalkan dia rajin, itu sudah memadai kerana boleh juga membantu bisnes saya. Kalau malas, saya tendang saja," kata Janna kepada BH Online.
Mengenai sikap terbukanya berkawan dengan golongan LGBT, pelakon yang popular menerusi drama Kau Aku Kita itu berkata, sebagai ahli perniagaan, dia tidak boleh membataskan pergaulannya.
"Orang ada bisnes seperti saya tidak boleh pilih kawan kerana saya menjual produk. Lagipun, produk saya sesuai untuk semua kerana harganya murah.
"Lagi ramai kawan, lagi bagus untuk memperluaskan jaringan hubungan dan mengembangkan bisnes saya," katanya.
Terdahulu Janna melancarkan produk penjagaan kulit, Sephia yang diadakan di Mont Kiara, di sini.
Produk berasaskan minyak argan itu sudah berada di pasaran sejak dua tahun lalu dan mendapat sambutan menggalakkan daripada peminatnya.
Sumber: BH Online