Matlamat asal penubuhan UiTM iaitu menjadi institusi tinggi khusus kepada bumiputera perlu terus dikekalkan selagi sekolah jenis kebangsaan atau vernakular wujud di negara ini.
Presiden Persatuan Alumni Universiti Teknologi Mara (PAUiTM), Datuk Mohd. Zaini Hassan berkata, isu sama ada UiTM buka atau tidak kepada bukan Bumiputera perlu selaras dengan sistem pendidikan negara.
"Kita tidak ada masalah sama ada UiTM dibuka atau ditutup tetapi kita harus selaras dengan sistem pendidikan kita sendiri. Alasan saya mudah sahaja selagi sistem pendidikan persekolahan masih lagi pelbagai selagi itulah saya rasa matlamat asal UiTM harus dikekalkan.
"Jadi sebelum persoalan untuk membuka UiTM ditimbulkan lebih baik kita selesai dahulu di peringkat persekolahan kerana pada peringkat ini akan berlakunnya integrasi kaum dan sebagainya dan akhirnya semua orang akan masuk ke universiti yang sama," kata Mohd. Zaini.
Mohd. Zaini berkata demikian dalam porgram Ala Carte Pagi di Benama Radio pagi tadi yang membincangkan tajuk Pertahankan UiTM.
Isu UiTM tercetus apabila Hindraf 2.0 baru-baru ini menyerahkan memorandum kepada Jawatankuasa Pembaharuan Institusi (IRC) dengan menyenaraikan 25 cadangan bagi menangani isu yang dihadapi golongan B75 masyarakat India antaranya pengambilan mandatori 15 peratus pelajar kaum itu ke universiti awam termasuk UiTM.
"Jangan ada pihak-pihak yang cuba menuang minyak ke dalam api sehingga menimbulkan hasutan kepada masyarakat. Kita harus ingat bahawa masyarakat kita berbilang kaum.
"Kita hormat menghormati antara satu sama lain. Hak awak adalah hak awak, hak kita adalah hak kita. Kita perlu hormat yang itu dahulu. Kita sedia membuka institusi kita sekiranya sistem di bawah berjalan dengan lancar," tegas Zaini.
Satu petisyen turut dilancar bagi membantah kelonggaran kemasukan ke UiTM untuk bukan Bumiputera di media sosial yang mendapat 156,713 tandatangan setakat ini.
"Ini adalah di luar jangkaan. Kalau kita tengok Change.com itu 150,000 tandatangan merupakan penanda aras antarabangsa. Ini satu kejayaan. Terima kasih kepada rakyat pelbagai kaum yang telah menyokong petisyen ini," kata Mohd. Zaini.
Sumber -UTUSAN