Kabinet Tidak Pernah Bincang Pembatalan HSR - Menteri Pengangkutan


KUALA LUMPUR - Keputusan mengenai pembatalan atau meneruskan projek Rel Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura belum pernah dibincang dalam mesyuarat Kabinet.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook, berkata perbincangan mengenai hala tuju projek mega yang dicetuskan ketika pemerintahan Barisan Nasional (BN) itu, akan dibangkitkan dalam mesyuarat Kabinet hari ini.

"Kena tanya Perdana Menteri (sama ada keputusan membatalkan projek HSR sudah muktamad).

"Setakat yang saya tahu, kami belum pernah berbincang mengenainya. Saya pasti akan membangkitkannya dalam mesyuarat Kabinet esok," katanya ketika ditemui selepas menghadiri Sambutan Hari Wesak di Kuil Buddhist Maha Vihara, di sini, semalam.

Yang turut hadir, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kenyataan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, semalam, yang mendakwa kerajaan sudah membuat keputusan muktamad untuk membatalkan projek HSR.

Dr Mahathir berkata, pelaksanaan projek yang bakal memendekkan perjalanan di antara Kuala Lumpur dan Singapura kepada 90 minit itu, tidak memberi manfaat dan keuntungan kepada Malaysia, selain membabitkan kos RM110 bilion.

Kerajaan dijangka perlu membayar pampasan sehingga RM500 juta kepada kerajaan Singapura jika meneruskan keputusan untuk membatalkan projek terbabit.

Guan Eng yang ditanya mengenai projek terbabit pula enggan mengulas mengenainya.

Sementara itu, ditanya mengenai dakwaan mengatakan Pengerusi Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) menerima gaji RM80,000 sebulan, yang tersebar luas di media sosial ketika ini, Siew Fook berkata, perkara itu akan turut dibangkitkan dalam mesyuarat hari ini.

Ditanya sama ada akan menyiasat dakwaan itu, beliau berkata: "Kita tahu, tak perlu siasat tapi saya akan komen selepas mesyuarat Kabinet, esok."

Sumber: BH Online