Kadir Jasin Tegur Menteri Kewangan, "Hati-Hati Buat Kenyataan.... "


Keghairahan Menteri Kewangan baharu, Lim Guan Eng di dalam mendedahkan jumlah hutang negara yang telah dibuat oleh kerajaan terdahulu memakan diri apabila pasaran saham memberi reaksi negatif dan para pelabur mula membawa keluar pelaburan masing-masing.

Kesilapan tersebut bukan sahaja mendapat teguran bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di laman Facebooknya malah turut mendapat perhatian daripada “orang dalam” Pakatan Harapan sendiri.

Menurut Ketua Media dan Komunikasi Majlis Penasihat Kerajaan, Datuk A. Kadir Jasin, Guan Eng seharusnya berhati-hati di dalam membuat sebarang kenyataan dan hebahan kepada media massa.

Malah tokoh dalam bidang kewartawanan itu juga menasihati semua menteri dan pegawai-pegawai mereka untuk melakukan perkara yang sama.

Beliau juga meminta semua wakil rakyat dan menteri yang baharu dilantik untuk melebihkan kerja demi rakyat jelata daripada berkata-kata dan mencari tajuk berita.

“Kesilapan Lim ialah dalam euforia dan keseronokan luar biasa menemui hal-hal yang membuktikan dakwaan Harapan selama ini benar, telah terlupa memikirkan semasak-masaknya apakah implikasi buruk pendedahan itu.

Biar saya beri peringatan kepada semua menteri dan pegawai mereka agar lebih berhati-hati membuat kenyataan kepada media massa.

Faedah politik  tidak sama dengan faedah ekonomi. Yang baik untuk politik tidak semestinya baik untuk ekonomi dan pasaran,” katanya di dalam artikel bertajuk Mereformasi Cara Berfikir, Bertindak Sebagai Kerajaan terbitan portal Malaysiakini.

Tambah A. Kadir, di dalam Pakatan Harapan, mereka menjanjikan reformasi maka setiap warganya perlu memulakan dengan mereformasi cara berfikir dan bertindak.

“Kita tidak perlu sensasi atau menjerit di puncak suara lagi. Kita sudah menjadi kerajaan.

“Hendak hukum Najib, Rosmah Mansor, Jho Low, Arul Azrul Kanda Kandasamy, Irwan Serigar Abdullah, Mohamed Apandi Ali, bekas IGP, bekas ketua pesuruhjaya SPRM, bekas (?) pengerusi SPR, Rizal Mansor, Riza Aziz, Isa Samad, Habibul Rahman Kadir, Abdul Azeez Rahim dan banyak lagi konco-konco era kleptokrasi – boleh, malah wajib.

Tapi biarlah kita lakukan melalui proses undang-undang kerana itulah yang terbaik apatah lagi HARAPAN sendiri berjanji menjunjung kedaulatan undang-undang,” katanya lagi.

Sumber - MalaysiaGazette