Kaji Semula Henti Penjawat Awam Lantikan Politik - MTUC


KUALA LUMPUR - Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) merayu Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengekalkan kakitangan awam kontrak yang tidak terbabit secara terus dengan politik kerajaan terdahulu.

Presidennya, Datuk Abdul Halim Mansor, berkata, MTUC sukar menerima hakikat pekerja termasuk secara kontrak ditamatkan perkhidmatan bukan atas alasan prestasi kerja.

"Ini kerana mereka ditamatkan perkhidmatan disebabkan kaedah politik. Seharusnya mereka diberikan layanan serta dasar yang sama dalam pengambilan dan penamatan perkhidmatan.

"Daripada 17,000 pekerja yang ditamatkan perkhidmatan, bukan semua terbabit secara terus atau sebagai pembuat keputusan dalam jabatan masing-masing.

"Kemungkinan mereka adalah pekerja sokongan dan saya merasakan dalam kaedah kita menamatkan perkhidmatan, haruslah berdasarkan prestasi pekerja," katanya ketika dihubungi wartawan NSTP hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas laporan kira-kira 17,000 kakitangan awam yang dilantik bagi keperluan politik dan pentadbiran oleh pemerintah Barisan Nasional (BN) ditamatkan perkhidmatan bagi menjimatkan perbelanjaan kerajaan.

Abdul Halim berkata, pihaknya berharap pendirian MTUC dalam isu itu tidak dipandang negatif oleh kerajaan baharu.

"Kerajaan perlu menilai dalam konteks kemanusiaan, bagaimana pekerja terbabit hendak menempuh Ramadan dan menyambut Hari Raya bila diberhentikan kerja secara tiba-tiba dengan notis yang amat singkat.

"Hal ini amat mengejutkan walaupun dalam konteks kita boleh membayar gaji ganti notis, tetapi ia satu tekanan kepada pekerja apabila mereka diberhentikan, seolah-olah mendapat satu hukuman yang amat berat.

"MTUC merasakan perlunya ada pertimbangan wajar dalam mengambil tindakan terhadap pekerja," katanya.

Menurutnya, pemberhentian pekerja terbabit berkemungkinan membawa kesan negatif kepada pengurusan atau jabatan terbabit.

"Saya merayu kepada Dr Mahathir sebagai pemimpin yang berpengalaman dan bertanggungjawab supaya prihatin terhadap nasib pekerja kontrak sokongan ini.

"Kalau dicantas (diberhentikan) walaupun tidak secara langsung terbabit dalam menentukan suasana politik atau kemahuan kerajaan atau jabatan terdahulu, saya rasa tidak adillah.

"Jika kerajaan tidak cukup wang dan harus menyekat segala perbelanjaan saya merayu buatlah selepas Lebaran, bukannya sekarang," katanya.

Ketika ini terdapat 1.6 juta penjawat awam serta 778,894 pesara kerajaan dan RM79.15 bilion daripada keseluruhan RM280.25 bilion dalam Bajet 2018 diperuntukkan bagi bayaran emolumen.

Sumber: BH Online