Kalau Nak Jadi Menteri Saya Cium Tangan Mahathir Dan Anwar, Kata Rafizi


KUALA LUMPUR – Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli menafikan laporan akhbar Sinchew yang mendakwa punca beliau membantah pengumuman pelantikan tiga menteri kanan kelmarin adalah kerana beliau mahu menjadi menteri kewangan.

Beliau berkata, laporan Sinchew itu adalah fitnah dan beliau akan menyaman akhbar tersebut kerana menyiarkan berita seumpama itu.

“Saya dah nyatakan sejak setahun lalu kpd @drwanazizah @anwaribrahim @n_izzah yg saya tidak mahu apa2 jawatan dlm kerajaan. Laporan Sinchew itu satu fitnah & saya akan saman. Ini jawapan2 saya,” katanya menerusi laman Twitternya hari ini.

Menurut Rafizi, pada mulanya beliau tidak mahu menjawab isu tersebut sehingga proses pelantikan jemaah menteri diselesaikan terlebih dahulu esok.

Bagaimanapun, katanya, terlalu banyak ‘feed’ mengenai isu tersebut justeru beliau perlu memberikan jawapan.

Kata Rafizi, jika mahu menjadi menteri, caranya adalah beliau mencium tangan pemimpin termasuk Tun Dr Mahathir Mohamad dan Datuk Seri Anwar Ibrahim, bukannya dengan menegur mereka.

“Kalau saya mahu jadi menteri, saya tidak ambil risiko sehingga dipenjara 4 tahun. Kritikan terhadap saya itu boleh saya terima, tetapi jangan menghina,” katanya.

Mengulas lanjut, kataya, apabila beliau menubuhkan Invoke Malaysia dua tahun lalu untuk membantu calon-calon pakatan harapan menang PRU14, beliau telah memaklumkan bahawa beliau tidak akan terima sebarang jawatan kerajaan selepas menang PRU14.

“Sebab itu saya bebas keluarkan kenyataan bagi pihak parti kerana orang lain terikat,” katanya.

Semalam Rafizi menerusi satu kenyataan mendakwa pengumuman tiga menteri Kabinet oleh Dr Mahathir belum muktamad dan tidak dirunding dengan PKR. 

Sumber: MalaysiaGazette