'Kami Mahu Lihat Manifesto'


KUALA LUMPUR - Ibarat Pilihan Raya Umum lalu, Presiden Persatuan Jurulatih Bola Sepak Malaysia (PJBM), B. Sathianathan menggesa semua calon Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) turun padang ala berkempen dengan bertemu kesemua 20 ahli gabungan bagi menjelaskan ‘manifesto’ masing-masing.

Katanya, reputasi atau pengalaman ketiga-tiga calon yang bertanding sahaja tidak akan cukup untuk mencerahkan peluang mereka dalam Kongres pemilihan FAM Ke-54, 14 Julai ini jika tidak disokong dengan tindakan meluangkan masa untuk mendekati hati budi ‘pengundi’ atau pemegang taruh utama persatuan itu.

“Orang politik atau siapa sahaja calon yang mahu menduduki kerusi No. 1 itu kena rajin buat kerja, dekati ahli gabungan, jumpa mereka dan jelaskan apa manifesto anda seperti visi, dasar, cara mendapatkan dana, penstrukturan FAM, pelan pembangunan akar umbi dan pasukan negara.

“Selain itu, kami ahli gabungan mahu Presiden nanti adalah orang yang boleh buat keputusan segera tanpa terlalu menunggu Majlis atau Kongres FAM lagi sebab inilah arus bola sepak zaman sekarang yang turut telah menjadi satu industri sukan,” katanya.

Bekas jurulatih kebangsaan yang pernah membantu negara menjuarai Pestabola Merdeka 2007 itu mengulas mengenai persaingan tiga penjuru untuk merebut kerusi panas FAM yang kosong selepas Tunku Ismail Sultan Ibrahim meletakkan jawatan pada 25 Mac lalu.

Selepas pencalonan ditutup semalam, dua tokoh yang dicalonkan untuk menyaingi Datuk Hamidin Mohd. Amin bagi jawatan itu ialah Pengerusi Institut Sukan Negara yang juga Timbalan Presiden Majlis Olimpik Malaysia, Datuk Seri Abdul Azim Mohd. Zabidi dan bekas Timbalan Presiden FAM, Tan Sri Annuar Musa.

Azim dicalonkan oleh Persatuan Bola Sepak Pahang (PBP) manakala Annuar diketengahkan oleh Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur (PBKL) walaupun pada mulanya cuba menamakan Pemangku Raja Kelantan, Dr. Tengku Muhammad Fa-iz Petra.

Mereka perlu mengesahkan sama ada bersetuju atau tidak dengan pencalonan masing-masing sebelum atau pada 14 Jun ini.

Hamidin, yang merupakan Setiausaha Agung FAM ketika ini, mendapat pencalonan majoriti ahli gabungan selain sokongan Jawatankuasa Eksekutif persatuan pada 2 April lalu selepas satu mesyuarat khas di Wisma FAM, Petaling Jaya, Selangor hasil saranan Tunku Ismail yang berundur gara-gara kejatuhan ranking pasukan negara.

Jawatan Presiden FAM kini dipangku Timbalannya, Datuk Wira Yusoff Mahadi sejak 2 April lalu.

Sathianathan berkata, selain mampu meluangkan masa, seseorang Presiden FAM juga perlu arif mengenai cara terbaik untuk memikat para penaja dalam menyumbangkan dana ke arah pembangunan bola sepak negara secara konsisten.

“Jika menilai ketiga-tiga calon itu, saya fikir Datuk Hamidin yang mempunyai kelebihan dan PJBM pada dasarnya menyokong beliau sebagai Presiden baharu FAM. Beliau memiliki pengalaman lebih 20 tahun dalam bidang pentadbiran bola sepak termasuk ketika di Selangor.

“Selain disenangi banyak pihak (kalangan negeri ahli gabungan FAM), TMJ (Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail) pun sudah nampak ketokohannya sebagai bakal Presiden apabila menyarankan namanya lebih awal kepada Exco FAM,” katanya.

Sumber: Utusan Online