Kastam Diraja Malaysia meminta agar semua peniaga yang berdaftar dengan pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) supaya mematuhi penetapan pada kadar sifar peratus yang akan berkuatkuasa 1 Jun ini.
Ketua Pengarahnya, Datuk Seri T. Subromaniam berkata, peniaga-peniaga yang sebelum ini mengenakan cukai GST pada kadar enam peratus dikehendaki menyalurkan penjimatan pada kadar sifar kepada pengguna dalam bentuk harga yang lebih rendah.
“Peniaga-peniaga diseru untuk tidak mengeksploitasi hasrat kerajaan untuk menurunkan harga dan seterusnya memberi manfaat kepada pengguna,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Dalam pada itu, Subromaniam berkata, Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) juga tidak akan dilaksana pada 1 Jun ini dan tarikh sebenar pelaksanaan cukai itu akan diumumkan tidak lama lagi.
“Kerajaan akan mengambil langkah-langkah yang tegas bagi memastikan harga barang dan perkhidmatan yang ditetapkan adalah mematuhi Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011,” katanya.
Untuk maklumat lanjut mengenai pelaksanaan sifar peratus GST itu peniaga dinasihatkan merujuk kepada soalan lazim berkaitan tempoh peralihan enam peratus kepada kadar sifar yang telah dimuatnaik di laman web www.customs.gov.my dan portal gst.customs.gov.my.
Sumber -MalaysiaGazette