JERLUN - Pesawah di Jerlun diminta jangan mengambil risiko mengundi pembangkang pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14), Rabu ini kerana tidak mustahil pakatan terbabit akan menghapuskan pemberian subsidi padi kepada pesawah jika mereka mentadbir negara ini.
Calon BN Parlimen Jerlun yang juga Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Othman Aziz, berkata ini kerana pakatan pembangkang yang diterajui DAP sering memberi bayangan untuk menghapuskan pemberian subsidi kepada pesawah kerana ia merugikan berbanding mengimport beras dari luar negara.
Mengulas lanjut beliau berkata, pembangkang sering mempersoalkan pemberian subsidi kepada pesawah yang keseluruhannya berjumlah RM1.8 bilion setahun yang disifatkan terlalu tinggi.
"Dari sudut ekonominya, kerugian itu meskipun diakui namun kerajaan tidak bercadang untuk menghapuskannya kerana memikirkan aspek keselamatan makanan dan elemen kemasyarakatan serta sosial.
"Setiap satu tan beras yang dihasilkan oleh pesawah yang ditanggung oleh kerajaan membabitkan kos sekitar RM2,500 sedangkan jika kita mengimportnya harga adalah sekitar RM2,000.
"Namun ia bukan hanya berkisar mengenai itu sahaja kerana kita bercakap soal keselamatan makanan di mana Kedah menyumbangkan 40 peratus kepada beras negara, kalau nak harapkan import kita khuatir pada masa depan mereka (pengeluar) boleh meletakkan harga yang lebih tinggi.
"Negara memerlukan sebanyak tiga juta tan beras dengan satu juta atau mewakili 30 peratus daripadanya adalah beras import," katanya kepada pemberita selepas Program Touch Point Segalanya Wanita dianjurkan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA), di sini.
Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin bahawa pesawah di negara ini tidak akan maju selagi mereka meneruskan pekerjaan menanam padi.
Di Jerlun, kira-kira 25,000 atau mewakili 90 peratus komuniti di sini terdiri daripada keluarga pesawah yang menerima pelbagai bantuan dan subsidi kerajaan berjumlah RM2,456.50 setiap hektar pada satu musim.
Othman berkata, atas keprihatinan terhadap keperluan pesawah di negara ini yang majoritinya tidak mempunyai pekerjaan lain, kerajaan berhasrat meneruskan pemberian subsidi dan bantuan lain kepada mereka, sekali gus tidak bergantung 100 peratus terhadap bekalan beras import.
Dalam perkembangan lain, berbaki tempoh 48 jam lagi sebelum hari mengundi, Othman mempergiatkan kempen melalui strategi 'Op Mengepung' dan 'Op Mengurat' yang dilancarkan sejak 28 April lalu.
Beliau berkata, melalui Op Kepung, pihaknya akan memastikan pengundi yang menyatakan sokongan buat BN supaya tidak terlepas kepada pembangkang manakala Op Mengurat pula mensasarkan terhadap pengundi hitam (yang tidak menyokong BN).
Sumber: BH Online