Kedah Cuba Pikat Rangel


ALOR SETAR - Bekas pemain import yang pernah beraksi bersama Selangor, Terengganu dan Johor Darul Ta'zim II (JDT II) kelahiran Brazil, Paulo Rangel kini berada dalam rundingan akhir untuk menyertai Kedah pada jendela perpindahan kedua, bulan ini.

Pencarian seorang penyerang yang berwibawa dilihat menjadi keutamaan Kedah pada tempoh perpindahan kedua dalam usaha meningkatkan ketajaman bahagian serangan bagi menggantikan penyerang sedia ada, Pablo Palares.

Menurut sumber dalaman Persatuan Bolasepak Kedah (KFA), nama Paulo Rangel yang kini beraksi di Liga Thailand bersama kelab Nakhon Ratchasima memang berada dalam radar perancangan skuad Lang Merah bersama dua lagi penyerang lain.

"Kita sudah pun mengadakan rundingan dengan Paulo Rangel dan setakat ini kita berada pada peringkat akhir dan manakala dua lagi penyerang lain yang turut berada dalam senarai calon pemilihan diberi status 'simpanan'.

"Ini adalah perancangan yang dibuat Kedah bagi memantapkan serta memperkasakan jentera serangan bagi menghadapi Liga Super dan aksi Piala Malaysia musim ini," katanya.

Dua pemain import yang dihebahkan dalam media sosial sebelum ini adalah Sylvano Comvalius yang kini beraksi bersama kelab Suphanburi FC di Thailand dan pemain yang pernah bersama Marcerra Kuantan FA berasal dari Montenegro, Zarko Korac.

Prestasi bahagian serangan Kedah yang agak kurang tajam sebelum ini memaksa pengurusan membuat perancangan lebih jitu dengan mencari seorang penyerang yang mempunyai pengalaman dan memiliki keupayaan terbaik sebagai penjaring.

Kedah kini berada di tangga ke-5 Liga Super selepas mengutip 11 mata hasil lapan perlawanan.

Sumber:BH Online