Kelapa Cukup Di Kedah Untuk Ramadan & Raya


PENDANG – Bekalan kelapa dijangkakan mencukupi di negeri ini bagi menampung permintaan yang meningkat sepanjang bulan Ramadan sehingga Hari Raya Aidilfitri akan datang.

Tinjauan Bernama di sebuah syarikat pengimport dan pengedar kelapa yang beroperasi di sini mendapati terdapat lambakan kelapa tempatan serta kelapa yang diimport dari Indonesia pada masa ini.

Penolong pengurusnya Muhammad Yusoff Hassan berkata bekalan kelapa dijangkakan tidak akan putus berikutan musim kelapa kampung juga bertembung dengan Ramadan tahun ini.

“Jika ada pengguna merungut dengan membeli kelapa import pada harga tidak munasabah, sudah pasti peniaga itu mengambil kesempatan dan pihak berkuasa boleh mengambil tindakan,” katanya.

Muhammad Yusoff berkata lambakan kelapa tempatan itu juga menyebabkan harga kelapa parut menurun kepada RM1.65 sekilogram berbanding RM1.85 hingga RM1.95 sekilogram sebelum ini.

“Manakala kelapa yang dijual secara biji pula antara RM1.50 hingga RM1.80 sebiji berbanding RM2.00 hingga RM3.00 sebiji mengikut saiz kelapa yang dijual sebulan lalu,” katanya.

Beliau berkata sekarang syarikat terpaksa mengehadkan tempahan kepada 40 tan metrik berbanding 80 tan metrik sebulan bagi mengelakkan bekalan kelapa yang disimpan terlalu lama sekali gus menjadi busuk hingga menanggung kerugian.

Sementara itu, seorang pengguna Masry Shaari, 60, berkata setakat ini dia tidak menghadapi sebarang masalah mendapatkan bekalan kelapa memandangkan di rumahnya turut terdapat pokok kelapa yang sudah berbuah dan dijamin mencukupi untuk kegunaan sepanjang Ramadan ini hingga sambutan Hari Raya nanti.

“Saya harap benda ini berkekalan supaya santan dan kerisik dapat dibeli lebih murah kerana bekalan nyior (kelapa) yang banyak sekarang ini, nyior amat penting dalam masakan dan jika harganya terus meningkat akan terus membebankan pengguna yang boleh dikatakan setiap hari menggunakannya,” katanya. – BERNAMA