Kemenangan Warisan Berita Baik Buat Pendatang Haram Sabah - Jeffrey Kitingan


KOTA KINABALU - Komuniti pendatang haram di Sabah teruja dengan upacara “angkat sumpah tidak sah” presiden Parti Warisan Sabah, Datuk Seri Shafie Apdal, kata seterunya dari Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Datuk Jeffrey Kitingan.

Presiden STAR itu berkata dengan kewujudan 2 ketua menteri dan krisis perlembagaan yang berlaku, rakyat Sabah perlu bersatu bagi mengelakkan berlakunya “pengambilalihan kuasa terbalik” di negeri itu.

Sebelum itu, penyandang ketua menteri, Tan Sri Musa Aman, mengangkat sumpah jawatan sebagai ketua menteri.

“Perkembangan yang berlaku adalah cabaran kepada semua rakyat Sabah yang terdiri daripada orang Cina, Momogun dan komuniti lain,” katanya.

Beliau mendakwa Sabah berhadapan kemungkinan pendatang yang memiliki permit kerja dan dokumen IMM13 diberikan MyKad oleh kerajaan Warisan.

“Kita tidak menghalang pendatang sah atau mereka yang menjadi warganegara secara sah. Aspek yang berbahaya ialah peningkatan drastik jumlah pendatang haram menjadi warganegara dalam sekelip mata.”

Jeffey berkata, BN yang berasaskan komuniti Kadazandusun-Murut dan pembangkang yang wujud sebelum pilihan raya umum lepas perlu kembali kepada semangat akar umbi untuk membentuk pakatan baru seluruh Borneo.

“Bersama-sama parti bukan-KDM (Kadazandusun Murut) dan komponen Gabungan Sabah, kita perlu berbincang untuk membentuk pakatan politik Sabah dengan segera,” katanya.

“Saya mendapat tahu sebilangan Adun KDM yang menyertai Warisan sedang memikirkan semula keputusan mereka sebelum ini kerana konflik kepentingannya jelas.”

Jeffrey berkata, ramai ahli KDM memarahi beliau kerana menyertai kumpulan Adun Musa Aman, tetapi menegaskan beliau berbuat demikian setelah mendengar laporan ramai pendatang haram menyambut gembira kemenangan parti Warisan di jalan raya.

“Saya lebih berkeyakinan untuk menyertai kumpulan Adun Musa selepas beliau bersetuju menolak BN dan Umno keluar dari Sabah, melaksanakan kad pengenalan Sabah dan terus memperjuangkan hak Sabah” katanya.

Sumber: FMT