KUALA LUMPUR - Datuk Seri Najib Razak berkata, pemimpin Barisan Nasional (BN), termasuk Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin sepatutnya bersuara lebih awal, jika masing-masing merasakan ada masalah dalam kepemimpinan, ketika beliau mengetuai negara dan parti.
Bekas Perdana Menteri yang juga Pengerusi BN itu, mendakwa selama ini beliau mengamalkan sikap terbuka dengan semua pihak bebas bersuara dalam memberi ulasan dan pandangan, meskipun ia mungkin berbeza dengannya.
"Saya agak terbuka mengenai perkara ini, cuma saya mahu ia dilakukan secara tertutup, kerana kita tidak sepatutnya menyerang sesama sendiri sebagai anggota dalam kerajaan," katanya.
Najib yang mempertahankan kedudukannya sebagai Ahli Parlimen Pekan pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14), berkata malah sebagai ahli parti, mereka masih mempunyai kebebasan menyuarakan rasa tidak puas hati atau perbezaan pandangan terbabit mesti menggunakan kaedah atau saluran yang sewajarnya.
"Hakikatnya, Khairy boleh datang berjumpa saya dan memberitahu, kita tidak berada di landasan yang betul atau berdepan masalah yang tidak ditangani sewajarnya.
"Dari situ, saya boleh buat keputusan sama ada mahu menerima atau menolaknya. Namun itu tidak berlaku, beliau (Khairy) sendiri mengakui tidak berbuat demikian," katanya dalam temubual eksklusif kepada portal malaymail.com kelmarin.
Najib menyuarakan pandangan itu ketika mengulas kekalahan memalukan UMNO dan BN di bawah kepemimpinannya, sedangkan parti itu tidak pernah kalah dalam PRU sepanjang mentadbir negara sejak merdeka.
Perdana Menteri keenam itu mendakwa, beliau tidak pernah memaksa ahli BN mengikut kehendaknya, sebaliknya menekankan keperluan mematuhi disiplin parti.
"Sekiranya anda menyerang kepemimpinan secara terbuka, itu bertentangan dengan disiplin parti, tetapi sekiranya awak datang bersemuka sambil memberitahu tidak bersetuju dengan saya, itu tidak salah. Saya rasa ia sepatutnya dilakukan sedemikian," katanya.
Meskipun Najib tidak menamakan mana-mana individu, namun ungkapan itu seakan-akan merujuk kepada bekas Timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan bekas Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Shafie Apdal.
Kedua-dua pemimpin terbabit lantang mempertikaikan tindakan Najib dalam menguruskan isu syarikat pelaburan strategik, 1Malaysia Development Berhad (1MDB), secara terbuka dan akhirnya kedua-dua mereka dipecat daripada jawatan dalam kerajaan BN dan UMNO.
Muhyiddin dan Shafie kemudiannya menubuhkan parti masing-masing, sebelum bergabung dengan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bersama pembangkang terdiri daripada DAP, PKR serta AMANAH, menumbangkan BN dalam PRU-14.
Bagaimanapun, ketika merujuk kepada Khairy, Najib berkata, pemimpin Pemuda UMNO itu sepatutnya sedar yang beliau tidak akan mengambil tindakan terhadap mana-mana individu yang berbeza pendapat.
"Saya hanya mengutamakan disiplin parti. Mereka yang diambil tindakan selama ini adalah disebabkan kesalahan melanggar disiplin parti," katanya.
Sumber: BH Online