PELAKON dan pengacara Neelofa berharap netizen berhenti memanggil pihak yang selama ini terpaksa berdiam diri sebagai lalang.
Neelofa atau nama sebenarnya Noor Neelofa Mohd Noor, 29, berkata sudah tiba masanya semua orang bergabung untuk menjadikan Malaysia lebih baik.
"Apabila anda tersekat dalam situasi yang tidak menyenangkan dan mulut anda perlu ditutup untuk tidak berkata apa-apa atau tidak berada di mana-mana pihak.
"Awak tidak diberi pilihan tetapi hanya perlu berdiam. Dan kepada semua 'bawang' di luar sana, awak patut berhenti memanggil pihak yang berdiam adalah lalang.
"Dah tidak masa untuk kita bersama, bersatu untuk Malaysia yang lebih baik, Malaysia kita!" kata Neelofa.
Neelofa menjelaskan perkara tersebut menerusi Instastorynya pada Sabtu namun telah dipadamnya selepas beberapa jam dimuat naik.
Bagaimanapun, pengacara Awal Ashaari telah memuat naik semula kenyataan pelakon drama bersiri Red Velvet itu di Instastorynya.
Sebelum ini, ramai selebriti tempatan yang dikecam netizen gara-gara memuat naik foto bersama Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.
Mereka menganggap golongan selebriti itu seperti 'lalang' yang memihak pada kerajaan sebelum ini iaitu Barisan Nasional namun bertukar memilih Dr Mahathir yang diberi mandat untuk kembali menduduki kerusi perdana menteri yang ketujuh.
Dalam pada itu, Neelofa memohon agar netizen berhenti menyalahkan dan mengecam selebriti lain.
Malah, pengacara program MeleTOP ini juga mengajak seluruh rakyat Malaysia supaya bersyukur pada Allah swt untuk sejarah yang telah dicipta.
"Jadi, berhenti salahkan atau kecam selebriti lain juga. Tiba masa untuk meraikan daripada melabelkan yang lain.
"Mari semua, bukankah ia rasa seperti merdeka sekali lagi?
"Mari berasa bersyukur pada Allah swt untuk sejarah yang kita (terutama golongan belia) dapat menjadi saksi dan rasa sayang dan selamat kembali.
Sumber: Mstar Online