MAHKAMAH Rendah Syariah Shah Alam menetapkan 28 Jun depan sebagai tarikh sebutan bagi mendengar laporan Jawatankuasa Pendamai berhubung kes perceraian diva pop terkenal, Ziana Zain dan suaminya, Armin Zaharin.
Hakim Syarie Mohd. Nizar Mohtar memerintahkan demikian selepas Armin atau nama sebenarnya Armin Zaharin Ahmad Zambri enggan melafazkan talak secara baik kerana mahu menemui semua anak-anaknya.
“Berdasarkan perkara tersebut, sebuah Jawatankuasa Pendamai ditubuhkan selaras mengikut Seksyen 47(5) Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Selangor 2003.
“Shahrul Anuar Zain akan mewakili Ziana sementara Azizi Mohd. Yaakob akan mewakili Armin dalam jawatankuasa tersebut,” kata Mohd. Nizar dipetik sebuah portal online.
Pada prosiding itu, Armin memberitahu mahkamah bahawa dia hanya bersetuju untuk melafazkan cerai terhadap Ziana sekiranya dia dibenarkan untuk berjumpa dengan keempat-empat anaknya.
“Saya bersetuju untuk bercerai dengan baik tetapi dengan syarat saya dibenarkan untuk bertemu anak-anak saya.
“Sejak Mac lalu saya langsung tidak dapat bertemu mereka dan berharap perkara itu dapat diambil kira oleh mahkamah,” kata Armin dipetik mStar Online.
Bagaimanapun, Ziana selaku plantif menegaskan beliau mendapat arahan polis dan peguam bahawa empat anaknya itu adalah saksi dan tidak boleh berjumpa dengan Armin.
“Saya hanya mengikut kata polis walaupun tidak memfailkan lagi penjagaan anak-anak,” kata Ziana atau nama sebenarnya Siti Roziana Zain.
Ziana dan Armin bernikah pada 9 Mei 1998 dan hasil perkahwinan tersebut, mereka dikurniakan empat orang cahaya mata, Muhammad Aiman, 18, dan Muhammad Ammar, 14, serta pasangan kembar, Muhammad Ariel dan Siti Nur Kaseh, 9.
Difahamkan, perkahwinan pasangan ini mencatat sejarah tersendiri kerana ia diadakan secara terbuka dengan kehadiran ribuan peminat yang ingin menyaksikan detik istimewa itu. – Kedahnews.com