JOHOR BAHRU – Masyarakat Sabah telah banyak menyumbang kepada pembangunan di Johor terutama kepada kepesatan kawasan industri di Pasir Gudang, kata Menteri Besar Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.
Beliau berkata kerajaan negeri mengiktiraf peranan dan sumbangan besar masyarakat Sabah terhadap pembangunan di negeri ini.
“Ramai dalam kalangan mereka ini bekerja di sektor-sektor perkilangan dan mustahil Pasir Gudang mencapai kejayaan yang dicapainya kini tanpa peranan penting orang Sabah,” kata beliau dalam Majlis Ramah Mesra Masyarakat Sabah di Taman Bukit Dahlia, di sini, malam semalam.
Katanya kerajaan negeri begitu prihatin dengan kebajikan dan kesejahteraan masyarakat negeri lain di negeri ini dengan memastikan setiap lapisan masyarakat tanpa mengira latar belakang mereka mendapat pembelaan yang selayaknya.
“Keadaan masyarakat Sabah di negeri ini telah jauh berbeza jika dibandingkan dengan 20 atau 10 tahun dahulu.
“Dahulu masyarakat Sabah tidak diberikan perhatian tetapi selepas saya menjadi menteri besar, sedikit demi sedikit semua itu berubah. Jadi jangan biarkan mereka (pembangkang) yang tidak pernah muncul selama ini, mempengaruhi kita,” kata Mohamed Khaled.
Pengerusi Barisan Nasional (BN) Johor itu juga menyeru masyarakat Sabah untuk terlibat secara bermakna dan berkesan di dalam BN bagi memastikan lebih banyak pembelaan dapat diberikan kepada kumpulan masyarakat berkenaan.
“Jumlah pengundi masyarakat Sabah (di Johor) ada lebih kurang 2,000 sahaja, walaupun jumlah ini tidak besar seperti jumlah masyarakat yang lain tetapi saya akan terus membela nasib masyarakat Sabah dan bertindak sebagai wakil kepada orang-orang Sabah yang ada di Pasir Gudang,” katanya.
Dalam pada itu, Ketua Masyarakat Sabah Ibrahim Taib berkata kerajaan negeri yang dipimpin oleh Mohamed Khaled sentiasa terlibat dan prihatin dengan perkembangan dan kesejahteraan masyarakat Sabah yang berada di dalam negeri ini dalam memastikan keinginan mereka juga terlaksana.
“Belum pernah ada menteri besar yang memberi pengiktirafan kepada peranan dan kepentingan masyarakat Sabah sepertimana yang dilakukan oleh (Datuk Seri) Mohamed Khaled dan Alhamdulillah beliau juga sentiasa bersama dengan kita dan tidak pernah menolak apa jua kehendak masyarakat kita,” katanya.
Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada Mohamed Khaled akan keprihatinan kerajaan negeri kepada masyarakat Sabah selama ini dan akan memastikan undi masyarakat Sabah untuk penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri Permas itu, yang juga akan bertanding untuk Parlimen Pasir Gudang, sebagai tanda terima kasih masyarakat itu. – Bernama