Kerajaan PH Jangan Hukum Rakyat


JOHOR BAHRU - Kerajaan Pakatan Harapan negeri diingatkan supaya tidak mendabik dada dan menghukum pengundi Barisan Nasional (BN) selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

Pengerusi Engage, Thomas Fann berkata, sepatutnya selepas mendapat mandat sebagai kerajaan baharu, Pakatan Harapan bersikap adil kepada semua dalam membuat keputusan.

Jelasnya, kenyataan Menteri Besar yang baharu, Datuk Osman Sapian untuk tidak menyalurkan peruntukan kepada kawasan yang dimenangi BN adalah tidak wajar dan menjadikan pengundi sebagai mangsa politik.

“Rakyat ada hak untuk mengundi BN, kami akan pertahankan hak mereka dalam hal ini. Beliau (Menteri Besar yang baharu) perlu menghormati pengundi dan wakil rakyat BN tidak seharusnya dihukum hanya kerana rakyat mengundi BN.

“Kerajaan baharu Johor harus menjadi seperti kerajaan Selangor yang tetap memberikan peruntukan kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) BN di negeri itu,” katanya dalam sidang akhbar selepas melakukan demonstrasi aman di Jalan Maju di sini semalam.

Semalam Datuk Osman Sapian dalam sidang akhbar selepas mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Johor Ke-16 memberitahu, tiada peruntukan kecil pembangunan akan diberikan kepada pembangkang di negeri ini kerana dana itu adalah hak kerajaan yang memerintah.

Thomas berkata, kerajaan Selangor bukan sahaja memberikan peruntukan kepada kawasan pembangkang tetapi memberikan elaun kepada ADUN BN malah menyediakan pejabat supaya dapat memberikan khidmat kepada pengundi mereka.

Beliau tidak mahu kerajaan negeri yang baharu angkuh dan mengamalkan politik membalas dendam dengan rakyat yang tidak bersalah menjadi mangsanya.

Sumber: Utusan Online