Kerajaan Tanggung Kos Tinggi Kesan Merokok


KUALA LUMPUR - Kerajaan membelanjakan lebih RM2.9 juta bagi menanggung kos rawatan tiga penyakit utama akibat merokok.

Timbalan Pengarah Kesihatan Awam Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Dr Sirajuddin Hashim, berkata tiga penyakit utama itu merangkumi penyakit jantung koronari, kanser paru-paru dan paru-paru kronik.

"Anggaran kos rawatan bagi seorang perokok adalah antara RM21,000 hingga RM42,000, bergantung jenis penyakit.

"Kos terbabit adalah mengikut kadar di hospital kerajaan, kos yang lebih tinggi mungkin terpaksa ditanggung sekiranya rawatan diperolehi di hospital swasta.

"Justeru, Kementerian Kesihatan membuat inisiatif dengan menyediakan lebih 40 klinik kesihatan yang menjalankan program berhenti merokok," katanya pada perasmian Sambutan Nafas Baru Bermula Ramadan Peringkat Kebangsaan 2018, di sini, hari ini.

Dr Sirajuddin juga berkata, program `Klinik Berhenti Merokok di Hospital Kerajaan' itu turut menyediakan sesi kaunseling, ubat yang berlanjutan sehingga enam bulan atau lebih, bergantung kepada individu.

Katanya terdapat peningkatan bilangan pendaftar di klinik terbabit iaitu pada 2015 seramai 4,021 orang, seramai 4,435 orang (2016) dan tahun lalu seramai 5,093 orang.

"Daripada jumlah itu, bilangan klien yang berhenti merokok adalah 450 klien pada 2015, 501 klien (2016) dan 658 klien pada 2017.

"Kita mahu masyarakat tahu sekiranya mereka mahu berhenti merokok, ada klinik yang boleh membantu untuk memberhentikan tabiat merokok," katanya.

Turut hadir Pengarah Hospital Kuala Lumpur (HKL), Datin Dr Nor Akma Yusuf.

Beliau berkata kempen Nafas Baru Bermula Ramadan ini dilaksana setiap tahun sejak 2003, bagi beri galakkan kepada perokok untuk mengubah tabiat merokok.

Katanya, kajian mendapati 95 peratus daripada perokok beragama Islam menyatakan mereka lebih mudah berhenti merokok pada Ramadan.

"Berpuasa selama 14 jam secara tidak langsung membantu perokok untuk berhenti merokok kerana mereka boleh mengawal diri dalam tempoh itu.

"Justeru saya menyeru untuk anda melawan nafsu dan berhenti merokok selama-lamanya," katanya.

Sumber: BH Online