SETIAP individu perlu bersenam sebanyak lima higga enam kali seminggu untuk mengelakkan arteri utama ke jantung daripada mengeras mengikut kajian terbaharu.
Mengikut kajian yang dijalankan ke atas 100 individu berumur 60-an, bersenam sebanyak dua atau tiga kali seminggu hanya akan menyebabkan beberapa saluran arteri menjadi sihat.
Para penyelidik mendapati bahawa sebarang bentuk senaman berupaya mengurangkan risiko masalah jantung seseorang itu.
Namun begitu, dengan melakukan senaman dalam jumlah yang betul pada waktu yang sesuai, ia mampu membantu memastikan kesihatan jantung dan saluran darah kekal ‘muda’.
Kajian tersebut, yang diterbitkan dalam sebuah jurnal The Journal of Physiology, melihat kepada sejarah sukan seseorang individu sepanjang hidup mereka sebelum mengukur kekerasan (stiffness) arteri mereka.
Untuk pengetahuan, arteri adalah saluran darah yang mengangkut darah untuk masuk dan keluar dari jantung sebelum dipam ke seluruh bahagian badan.
Setiap satu arteri berbentuk tiub dan semakin seseorang individu itu berumur, arteri mereka berkemungkinan besar akan mengeras.
Selain itu, gaya hidup yang tidak sihat juga mampu membuatkan ruang arteri tersumbat berpunca daripada lebihan bahan lemak.
Para penyelidik dari Amerika Syarikat itu juga mendapati bahawa individu yang bersenam sebanyak dua hingga tiga kali seminggu (30 minit setiap sesi) sepanjang hayat mereka, akan menyaksikan lebih banyak arteri bersaiz sederhana yang membekalkan darah ke kepala dan leher.
Bagaimanapun, mereka yang bersenam sebanyak empat hingga lima kali seminggu mempunya arteri bersaiz besar dan lebih sihat di samping arteri bersaiz sederhana.
Arteri yang lebih besar inilah yang bertanggungjawab membekalkan darah ke bahagian dada dan perut.
Kajian itu bagaimanapun tidak mengambil kira faktor-faktor seperti pemakanan, latar belakang sosial dan pendidikan yang mampu memberikan dapatan yang lebih menyeluruh dalam analisis mereka.
Pengarang tersohor dari Institut Latihan dan Perubatan Alam Sekitar di Dallas, Texas, Dr. Benjamin Levine berkata, kajian tersebut sangat menarik kerana ia membantu orang ramai untuk membangunkan program senaman yang lebih sihat selepas ini.
“Kerja-kerja (kajian) ini sangat menarik kerana ia membolehkan kita untuk membangunkan program-program senaman baharu untuk memastikan saluran darah dan jantung untuk kekal ‘muda’,” katanya.
Jelasnya, kajian-kajian terdahulu menunjukkan bahawa sekiranya usia mencecah 70 tahun, amat sukar untuk mengembalikan kesihatan jantung kekal muda.
Ini kerana amat sukar untuk sesorang berusia sebegitu untuk mengubah struktur jantung dan arteri, walaupun berlatih selama setahun. –Kedahnews.com