PADANG SERAI - Siapa sangka mereka adalah bekas guru dan asal dalam kampung yang sama, kini bertemu dalam pentas politik namun berlainan parti akan merebut kerusi Dun Merbau Pulas pada PRU14 ini.
Calon Amanah, Abd Razak Salleh dan calon BN Datuk Asmadi Abu Talib, keduanya merupakan muka baharu yang telah dipertaruhkan oleh parti masing-masing mempunyai persamaan latar belakang telah diberi harapan untuk merampas kerusi di Dun Merbau Pulas.
Kedua calon ini berasal dari Kampung Pondok Labu Kulim, mempunyai misi tersendiri dalam PRU14 ini.
Bagi Abd Razak, keputusan meninggalkan kariernya sebagai pendidik dan memilih politik kerana ingin memberi kidmat kepada rakyat secara menyeluruh.
"Jadi cikgu pun saya boleh berkhidmat, tetapi terlalu kecil skopnya, kerana sikap prihatin dan ingin menjaga rakyat keputusan menjadi ahli politik adalah paling tepat.
"Keputusannya ini juga kerana dorongan arwah ayah Salleh Lebai Saad yang terlibat dalam politik ketika hayatnya masih ada, dia perjuangkan keadilan ini yang kuatkan saya untuk pilih bidang ini selain mendapat restu ibu,"katanya.
Katanya, kesusahan rakyat yang dirasai melalui anak murid di sekolah juga membuatkannya nekad melepaskan jawatan Penolang Kanan Hal Ehwal Murid di Sekolah Kebangsaan Taman Selasih pada 27 April lalu.
"Sudah 32 tahun saya jadi cikgu, macam-macam saya lihat teruatama anak murid yang tak ada wang, apa yang saya boleh bantu setiap hari saya bagi RM1 kepada mereka.
"Saya sendiri susah, jadi kerana ingin bantu masyarakat dan jadikan kehidupan rakyat lebih baik saya ambil keputusan untuk menjadi wakil mereka dan memastikan kehidupan mereka terjamin bukan hanya dalam pendidikan tetapi menyeluruh,"katanya.
Abd Razak yang juga Ketua Amanah Kawasan Padang Serai itu juga menyeru rakyat yang ingin perubahan supaya memilihnya pada PRU14 ini.
"Saya mahu perubahan, kalau pengundi juga nak berubah datanglah kepada saya, undilah saya bersama kita bawa perubahan jadikan kehidupan dan negara lebih baik,"katanya.
Manakala, Asmadi yang telah meninggalkan bidang pendidikan pada 27 April lalu dan sekolah terakhir di SK Jalan Paya Besar dan memilih bidang politik kerana yakin dapat menggalas tanggungjawab sebagai wakil rakyat.
"Penglibatan awal dalam politik pada tahun 2004 apabila terpanggil untuk menjadi AJK Pemuda Umno Bahagian Padang Serai kemudian dilantik sebagai setiusaha dan seterusnya pada tahun 2008 diberi kepercayaan sebagai Ketua Pemuda Umno bahagian.
"Pada 2013 pula saya terus diberi kepercayaan menjadi Ketua Umno Bahagian dan dengan keyakinan dan matlamat untuk membawa membantu rakyat pada tahun saya diberi peluang menjadi calon di Dun Merbau Pulas,"katanya.
Katanya, peluang diberikan untuk bertanding ini akan memberi ruang lebih luas untuk mencurahkan khidmat terutama terus mempertahan anak bangsa Melayu seperti prinsip Umno selain menjaga hak semua kaum.
"Jadi cikgu boleh berkhidmat tapi terlalu kecil, saya yakin saya boleh bagi lebih kepada semua orang, dengan pentas politik adalah salah satu cara untuk berkhidmat.
"Saya harap masyarakat dapat memilih saya pada PRU14 ini, berilah peluang untuk saya buktikan saya mampu memberi khidmat yang terbaik untuk rakyat,"katanya.
Sebelum ini, kerusi Dun Merbau Pulas telah diumumkan berlaku pertandingan tiga penjuru antara BN, Harapan dan Pas pada PRU14 ini.
BN telah mempertaruhkan muka baru seorang guru iaitu Asmadi, manakala Harapan juga mempertaruhkan Abd Razak juga bekas guru yang akan menentang penyandang Pas di situ iaitu Datuk Siti Ashah Ghazali.
Sumber: Sinar Harian