Kos Sara Hidup, Jaminan Kerja Antara Isu Dibangkitkan


KUALA LUMPUR – Kos sara hidup, jaminan kerja, kekurangan persiapan dan peningkatan kemahiran pekerja bagi menghadapi Revolusi Industri 4.0 antara isu utama yang dibangkitkan Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) kepada Majlis Penasihat Kerajaan.

Setiausaha Agung MTUC, J.Solomon dalam satu kenyataan hari ini berkata beliau telah dipanggil oleh pengerusi majlis itu, Tun Daim Zainuddin untuk memberikan butiran mengenai isu pekerja yang dibangkitkan tetapi tidak pernah diberi perhatian oleh Kerajaan Barisan Nasional sebelum ini.

Selain daripada itu, isu Majlis Penasihat Buruh Kebangsaan yang ketinggalan dari segi fungsinya, kebanjiran pekerja asing dan eksploitasi ke atas mereka serta hak kesatuan sekerja terutamanya untuk pengiktirafan, juga dibangkitkan.

“Sebagai penasihat kepada dasar dan program kerajaan bagi membantu Pakatan Harapan menunaikan janji pilihan rayanya dalam tempoh 100 hari, Tun Daim dan anggota pasukannya telah bekerja keras sejak pelantikan mereka.

Adalah sungguh meyakinkan untuk melihat kepantasan dan komitmen Tun Daim dan pasukannya bekerja untuk mengumpul pandangan mengenai isu yang menjejaskan pekerja,” katanya.

Solomon berkata keazaman mereka amat memberikan harapan kepada masa depan pekerja di Malaysia sebagaimana bekas Menteri Kewangan itu menjamin maklumat yang dikumpulkan akan dibawa untuk perhatian Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad.

Justeru, MTUC menggesa 14 juta pekerja untuk menyokong kerajaan dalam usaha ini dan memberikan mereka masa untuk menyelesaikan isu mengikut keutamaan bagi manfaat rakyat.

“Janganlah kita memberikan tekanan yang tidak sepatutnya kepada mereka buat masa ini. Mereka perlu mengkaji dan menyemak semula dasar dan amalan yang menjejaskan kehidupan pekerja,” katanya. – BERNAMA