BEKAS Pengerusi Bersih 2.0, Datuk Ambiga Sreenevasan mengkritik PKR susulan kenyataan naib presidennya berhubung isu perlantikan tiga kementerian utama tanpa berunding dengan parti itu.
Ambiga yang juga bekas Presiden Majlis Peguam Malaysia, menyifatkan ulasan Ahli Parlimen Pandan itu sebagai ‘karut’ dan harus dihentikan.
“PKR tolong hentikan karut-marut ini,” kata Ambiga berhubung isu itu di akaun Twitter miliknya.
Tokoh pejuang gerakan LGBT di Malaysia itu sebelum ini mengatakan beliau sepenuhnya menyokong perlantikan tiga portfolio kanan dalam kerajaan seperti yang diumumkan oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad baru-baru ini.
“Saya sokong sepenuhnya pelantikan oleh perdana menteri. Tolong dahulukan negara berbanding hal lain. Rakyat sendiri berbuat demikian!” katanya.
Dalam perkembangan yang sama, Mohamad Sabu yang juga Menteri Pertahanan terbaharu mempertahankan keputusan Dr. Mahathir menamakan dirinya dan tiga individu lain untuk jawatan Kabinet.
Beliau berkata kuasa melantik menteri terletak di atas Perdana Menteri dan ia sudah diputuskan di mesyuarat presiden Pakatan Harapan sebelum ini.
“Ia terpulang kepada keputusan Perdana Menteri untuk melantik, ia bidang kuasanya,” katanya seperti yang dipetik portal FMT semalam.
Malah kenyataan yang dikeluarkan Rafizi itu juga turut disangkal seorang penulis blog terkenal, Anas Zubedy dengan meminta agar PKR memberikan seratus peratus kerjasama kepada Dr. Mahathir agar segala apa yang dirancang berjalan lancar.
“Tolonglah berikan kerjasama dan biar Dr. Mahathir gunakan kebijaksanaanya memilih individu yang dikira layak.
“Mungkin tidak boleh nak memuaskan semua pihak namun dengan memberikan sokongan penuh, PH akan buang segala ketidakpastian dan mewujudkan platform yang mantap dari segi pembaharuan,” katanya.
Terdahulu, Dr. Mahathir menamakan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng selaku Menteri Kewangan; Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Menteri Dalam Negeri dan Presiden Parti Amanah Negara, Mohamad Sabu sebagai Menteri Pertahanan.
Menurut Perlembagaan Persekutuan, pelantikan menteri kabinet dibuat Yang di-Pertuan Agong dengan nasihat daripada perdana menteri.
Rafizi bagaimanapun mendakwa Dr. Mahathir tidak berunding dengan PKR berhubung perkara itu, bertentangan dengan Pakatan Harapan yang mengutamakan konsensus.
Beliau juga berkata pelantikan itu belum muktamad kerana perbincangan masih berlangsung. –Kedahnews.com