Lelaki Didakwa Sembelih Lembu Mati Dibelasah


NEW DELHI – Seorang lelaki Muslim tempatan yang didakwa menyembelih seekor lembu, dibelasah sampai mati oleh sekumpulan penduduk bukan Islam di tengah India.

Ia sekali gus menjadi kes pembunuhan terbaharu membabitkan haiwan yang dianggap sebagai suci oleh majoriti rakyat negara itu yang menganut agama Hindu.

Mangsa iaitu tukang jahit, Siraj Khan, 45, diserang di daerah Satna, negeri Madhya Pradesh, awal kelmarin dan meninggal dunia di tempat kejadian, kata pegawai polis tempatan, Arvind Tiwari, kepada AFP.

Manakala seorang lagi rakan Siraj iaitu Shakeel Maqbool, turut diserang dan dimasukkan ke sebuah hospital yang berhampiran kerana cedera parah.

Agensi berita Press Trust of India dalam pada itu melaporkan 400 anggota polis tambahan dihantar ke daerah tersebut baru-baru ini.

“Kami sudah menahan empat suspek… Kami sedang menyiasat apa yang mencetuskan serangan ini,” kata Tiwari. – AFP