Lembaga Zakat Kedah Sasar Bina 200 Rumah Baharu Tahun Ini


ALOR SETAR – Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) menyasarkan 200 rumah akan dibina melalui Skim Bina Baru Rumah tahun ini membabitkan peruntukkan RM8.6 juta.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Zakaria Othman berkata sehingga Mei, 35 rumah telah dibina membabitkan peruntukan kira-kira RM1.5 juta.

“Hari ini kami buat serahan dua daripada enam unit rumah yang siap dibina di daerah Kota Setar dan kami menyeru asnaf-asnaf yang layak di negeri ini supaya membuat permohonan kepada LZNK untuk diproses dan ditapis sebelum benar-benar layak untuk mengisi 165 unit lagi yang akan dibina secara berperingkat,” katanya kepada pemberita pada Program Perasmian Penerima Bantuan Zakat (rumah) di sini, kelmarin.

Selain itu, sebanyak 265 rumah telah diluluskan LZNK untuk kerja membaik pulih rumah dengan kos RM5.52 juta.

Sementara itu, seorang penerima, Osman Mahmud, 51, dari Kampung Hutan Serdang di sini berkata, beliau begitu teruja dengan bantuan itu kerana sebelum ini tidak pernah terfikir untuk memiliki rumah sendiri setelah tiga kali permohonan dibuat sejak tujuh tahun lalu.

“Selama lima tahun saya perlu bayar RM200 sebulan duit sewa rumah kerana saya juga tak mampu bina sendiri sebab bergantung kepada pendapatan bersawah, namun sangat syukur kerana LZNK meluluskan rumah ini dan dapatlah kami menyambut Ramadan dan berhari raya di rumah baharu nanti,” katanya.

Seorang lagi penerima, Shuib Lazim, 77, dari Sungai Baru, di sini berkata, dengan rumah baharu ini dapatlah beliau sekeluaga menetap dengan lebih sempurna sambil menjaga isteri, Aminah Mat Arof, 70, yang menghadapi kanser payudara sejak setahun lalu.

“Sebelum ini rumah kami agak uzur dan kecil memandangkan kami anak-beranak masih menetap di sini dan setiap kali musim perayaan kami terpaksa berhimpit, tetapi alhamdulillah kehidupan kami lebih baik dan selesa dengan rumah yang dibina baharu oleh LZNK ini,” katanya.

Rumah tersebut lengkap dengan tiga bilik tidur dan satu bilik air dan dibina dengan kos RM43,000 seunit oleh LZNK.

Dalam pada itu, Zakaria berkata, seramai 3,600 orang amil telah dilantik LZNK untuk melancarkan proses kutipan zakat fitrah sepanjang Ramadan tahun ini.

Katanya, zakat fitrah di Kedah juga kekal pada RM7 dan boleh dibayar di 614 pusat kutipan di seluruh negeri.

“Bagi golongan yang berkemampuan dan ingin membayar zakat fitrah secara gandaan mengikut jenis beras, mereka boleh memilih beras Super Import bernilai RM14 atau beras Basmathi berjumlah RM21, namun bayaran zakat melebihi kadar yang ditetapkan iaitu RM7 adalah sunat dan tiada paksaan dan boleh dibuat awal agar agihan dapat dibuat sebelum Hari Raya Aidilfitri,” katanya. – BERNAMA