Lepas Jawatan, Syamsul Debat Nafi Konon Sudah Keluar UMNO


SANGKAL… Penceramah motivasi, Syamsul Amri Ismail atau lebih dikenali sebagai Syamsul Debat, menjelaskan beliau masih bersama UMNO walaupun telah melepaskan semua jawatan dalam parti.

Menurutnya yang juga seorang pendakwah bebas, banyak pihak mungkin salah faham dan menyangka beliau keluar UMNO berikutan kenyataannya yang disiarkan menerusi laman Facebook, ‘Syamsul Amri Ismail Official’ semalam.

“Saya masih lagi bersama-sama dengan UMNO. Bagaimanapun saya cuma melepaskan semua jawatan dalam parti bagi memberi laluan kepada individu lain pula. Saya telah diminta bertanding dalam pemilihan UMNO akan datang.

“Tetapi saya secara kebetulan pula agak sibuk dengan jadual pelbagai ceramah dan mahu memberi perhatian kepada Pertubuhan Alumni Debat Malaysia,” kata Syamsul, 41, ketika ditemui pihak media di Seremban, Negeri Sembilan.

Dalam kenyataannya semalam, beliau dilaporkan mengumumkan melepaskan semua jawatan dalam UMNO kerana mengambil tanggungjawab ekoran kekalahan parti itu dalam Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-14 baru-baru ini.

Syamsul sendiri malahan tewas di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sikamat dalam PRU14 pada 9 Mei lepas kepada calon PKR, Aminuddin Harun yang juga penyandang dan kemudian dilantik sebagai menteri besar baharu.

Untuk rekod, Syamsul ialah Ketua Penerangan Pemuda UMNO Bahagian Seremban, Pengerusi Tetap Pemuda UMNO Cawangan Panchor, Ketua Penerangan UMNO Cawangan Panchor dan Penceramah Biro Penerangan UMNO Malaysia. – Agensi