Madrasah Di Kuala Ketil Perlu Dana RM130,000


KUALA KETIL - Madrasah Nurul Hidayah Banggul Setul dari Kampung Tembak di sini memerlukan bantuan kira-kira RM130,000 bagi membayar hutang tertunggak termasuk menampung kos pelajar berbuka puasa.

Mudirnya, Mohd Zainon Ariffin berkata, jumlah itu merangkumi hutang sebanyak RM30,000 kepada tukang binaan madrasah, juga perlu melangsaikan hutang sebanyak RM35,000 kepada kedai hardware.

“Selebihnya kita memerlukan lebih kurang RM35,000 hingga RM40,000 untuk membayar bil elektrik serta RM30,000 bagi menampung kos berbuka puasa dan bersahur termasuk kos pengurusan,” katanya.

Tambahnya, semua itu tidak dapat dijelaskan dengan yuran pengajian pelajar semata-mata.

“Di sini juga ada pelajar kurang berkemampuan, tidak cukup bergantung dengan yuran sahaja.

“Bagi pelajar daripada keluarga susah, pihak sekolah akan membantu mereka mendapatkan sumbangan orang ramai untuk meneruskan pengajian di sini,” katanya.

Menurutnya, dana diperlukan ketika ini merupakan keperluan terdesak pihak madrasah.

“Buat masa sekarang, inilah keperluan yang agak mendesak. Sebabnya kita perlu menampung kos berbuka puasa dan bersahur pelajar seramai 150 orang.

Madrasah baru siap dibina sepenuhnya ini memerlukan sumbangan orang ramai bagi menjelaskan bayaran kepada pekerja binaan.

“Pihak tukang yang menyiapkan sekolah ini juga memerlukan kewangan, mereka bukanlah kontraktor besar, tetapi hanya orang-orang kampung biasa yang mempunyai keluarga untuk ditanggung khususnya dalam Ramadan,” katanya.

Tambahnya, seandainya bayaran dapat dijelaskan sebelum tamat Ramadan, pastinya dapat menampung keperluan para pekerja berkenaan menyambut Aidilfitri.

Beliau berkata, pihak madrasah amat mengharapkan sumbangan daripada orang ramai dan tahun ini sukar mencari sumber kewangan memandangkan pelbagai pihak  dilihat memberikan tumpuan kepada PRU14.

Sumbangan boleh disalurkan melalui Maybank di nombor akaun 1520-4033-9766 atau Bank Simpanan Nasional di nombor akaun 02126-41-80336814-1.

Orang ramai juga boleh hubungi Ustaz Zainon di talian 019-4754716 atau hubungi pembantu mudir, Ustaz Osman Abdul Hamid di talian 019-4811947.

Sumber: Sinar Online