Mahdzir, Isteri Mengundi Di SK Naka


PADANG TERAP - Calon Barisan Nasional (BN) Padang Terap, Datuk Seri Mahdzir Khalid menunaikan tanggungjawab mengundi di pusat pengundian di Sekolah Kebangsaan (SK) Naka, di sini hari ini.

Beliau dan isteri, Datin Seri Noraini Abdullah tiba di pusat pengundian pada kira-kira pukul 9.40 pagi.

Sebelum masuk ke bilik pengundian, penyandang kerusi Parlimen Padang Terap yang beratur hampir sejam itu sempat bersalam dan berbual dengan orang ramai yang ditemui.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) ini, seramai 46,644 orang layak mengundi di Parlimen Padang Terap.

Sementara itu, seorang warga emas, Puan Md. Resar, 85, melahirkan perasaan teruja kerana masih berpeluang menjalankan tanggungjawab sebagai rakyat Malaysia buat kali ke- 14.

Puan yang menetap di Kampung Berdikari berkata, dia tetap bersemangat keluar mengundi awal pagi bagi mengambil bahagian memilih walaupun terpaksa menggunakan kerusi roda disebabkan keuzuran dan sakit lutut.

“Sejak pilihan raya umum (PRU) diperkenalkan, makcik tak pernah terlepas peluang untuk keluar mengundi.

“Ini peluang untuk memilih wakil rakyat yang mampu khidmat terbaik kepada masyarakat,” katanya. - Utusan