Mahkamah Tolak Permohonan Tun M Supaya Hakim Tarik Diri


KUALA LUMPUR - Hakim Mahkamah Tinggi Datuk  Azizah Nawawi akan terus mendengar saman yang difailkan oleh Perdana  Menteri  Tun Dr Mahathir Mohamad untuk membatalkan laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Menyiasat  Kerugian Urus Niaga Mata Wang Asing oleh Bank Negara sekitar tahun 1990-an.

Ini berikutan keputusan oleh Azizah yang menolak permohonan Dr Mahathir untuk melucutkan beliau  daripada mendengar kes itu atas alasan bahawa hakim yang sama sebelum ini telah mendengar satu lagi kes berkaitan RCI iaitu berhubung permohonan Dr Mahathir bagi kebenaran untuk semakan kehakiman mengenai pelantikan dua daripada  anggota RCI.

Pada 17 Ogos tahun lepas, Azizah menolak permohonan Dr Mahathir untuk membatalkan pelantikan Tan Sri Mohd Sidek Hassan sebagai pengerusi RCI dan Tan Sri Saw Choo Boon sebagai anggota suruhanjaya tersebut.

Azizah, dalam penghakimannya berkata plaintiff (Dr Mahathir) mesti menunjukkan wujudnya bahaya sebenar mengenai kecenderungan berat sebelah dan bukan hanya berdasarkan syak wasangka yang munasabah.

"Dalam permohonan ini, “bahaya sebenar” kecenderungan berat sebelah tidak ditampilkan kerana  inti bicara kes ini berbeza daripada kes RCI-1.

"Dalam kes RCI-1, inti bicara ialah mengenai komposisi anggota RCI, sedangkan permohonan masa kini ialah mencabar dapatan RCI kerana gagal memasukkan dalam laporan, antara lain keseluruhan nota prosiding termasuk keterangan lisan saksi-saksi, semua permohonan yang dibuat oleh pihak-pihak (bertulis atau lisan) dan keseluruhan hujah pihak-pihak berkaitan," kata hakim.

Azizah berkata mengenai isu yang dibangkitkan oleh peguam bahawa mahkamah telah membuat keputusan yang tidak memihak kepadea Dr Mahathir dalam kes-kes sebelum ini, keputusan tersebut adalah berasaskan kepada prinsip perundangan di negara ini dan Dr Mahathir juga telah merayu terhadap semua keputusan tersebut.

"Sebaliknya, mahkamah menyedari tentang bahaya dalam melucutkan fungsi dan tugas kehakiman jika mahkamah membenarkan permohonan  bagi penarikan diri," kata hakim.

Hakim membuat keputusan itu dalam kamar di hadapan peguam Mohd Irzan Iswatt Mohd Noor, yang mewakili  Dr Mahathir dan Peguam Kanan Persekutuan Noor Fadzila Ishak mewakili pengerusi RCI Tan Sri Mohd Sidek, anggota-anggota RCI - Datuk Wira Kamaludin Md Said, Datuk Seri Tajuddin Atan, Tan Sri Saw Choo Boon, K.Pushpanathanan, Datuk Dr Yusof Ismail, bekas  perdana menteri Datuk Seri Najib Razak, anggota Kabinet dan kerajaan yang dinamakan sebagai defendan.

Mohd Irzan memberitahu pemberita bahawa mahkamah menetapkan 25 Jun untuk pengurusan kes.

Pada Disember 2017, Dr Mahathir memfailkan saman untuk memohon pengisytiharan bahawa laporan RCI mengenai kerugian urus niaga mata wang asing oleh Bank Negara adalah tidak sah dan terbatal kerana tidak memasukkan dokumen undang-undang saksi dan nota prosiding.

Dalam saman itu, Dr Mahathir memohon pengisytiharan  bahawa laporan RCI mengenai kerugian urus niaga mata wang asing oleh Bank Negara' sekitar tahun 1990-an adalah tidak sah, tidak lengkap dan tidak terpakai kerana tidak mengandungi nota prosiding, hujah bertulis dan hujah lisan melalui transkripsi atau rakaman video.  

Beliau juga memohon pengisytiharan bahawa mana-mana laporan oleh Suruhanjaya Siasatan Diraja yang ditubuhkan di bawah Akta Suruhanjaya Siasatan 1950 hanya sah dari segi undang-undang dan terpakai jika ia mengandungi semua kenyataan bertulis oleh saksi-saksi yang memberi keterangan dalam prosiding, nota prosiding dan dapatan.

Sumber: Mstar Online