Mai Daftar Nikah 2018 Sehingga September


ALOR SETAR - Program Pemutihan Nikah Rentas Sempadan: Mai Daftar Nikah 2018 masih diteruskan dalam usaha melindungi hak isteri dan anak supaya masa depan keluarga dan pendidikan mereka tidak terjejas.

Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kedah (JHEAINK), Datuk Abdul Rahman Ismail, berkata beliau sendiri memantau perjalanan program terbabit yang dianjurkan selama enam bulan bermula April lalu.

Katanya, pihaknya komited mahu membantu mereka yang sudah lama berkahwin tetapi gagal mendaftar dan menyelesaikan masalah Anak Tidak Sah Taraf (ATST).

"Kita juga mahu memastikan semua pemohon yang berkahwin di luar negara menepati syarak supaya tidak berlaku masalah kemudian hari dan jika berlaku, kita akan permudahkan urusan pemohon terbabit.

"Pelaksanaan program ini masih diteruskan dan sehingga kini, JHEAINK menerima hampir 200 permohonan melalui 12 Pejabat Agama Daerah sekitar negeri ini sejak 1 April lalu.

"Selain itu, kita juga yakin, Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir, akan memberi sokongan sepenuhnya bagi memastikan objektifnya dicapai meskipun program ini dimulakan kerajaan terdahulu," katanya ditemui di pejabatnya di sini semalam.

Ditanya mengenai jumlah permohonan yang direkodkan, Abdul Rahman berkata program itu terbahagi kepada dua iaitu monogami dan poligami yang membolehkan JHEAINK melakukan kajian secara sistematik.

Katanya, 146 permohonan direkodkan bagi bulan pertama penganjuran program terbabit dengan poligami 59 pasangan dan monogami 87 pasangan.

"Jumlah terbabit meningkat apabila bulan kedua iaitu Mei, kita merekodkan 49 permohonan dengan 33 pasangan bagi kes poligami dan 25 pasangan bagi kes monogami.

"Semua permohonan pasangan terbabit sedang diteliti JHEAINK untuk dokumentasi sebelum diserahkan kepada mahkamah syariah untuk menjatuhkan hukuman selain membenarkan pendaftaran perkahwinan pemohon yang membabitkan proses keseluruhan memakan masa 100 hari," katanya.

Mac lalu, NSTP melaporkan kerajaan negeri memutuskan denda bagi Program Pemutihan Nikah Rentas Sempadan: Mai Daftar Nikah 2018 adalah RM300, sekali gus membolehkan prosesnya berjalan lancar dan tidak membebankan, bermula 1 April.

Pengerusi Jawatankuasa Agama, Pelancongan dan Warisan serta Kerja Raya negeri, Datuk Mohd Rawi Abd Hamid, berkata mesyuarat kerajaan negeri sebulat suara meluluskan penganjuran program itu yang menekankan usaha melindungi hak isteri dan anak supaya masa depan keluarga dan pendidikan mereka tidak terjejas.

"Program ini bukan bertujuan menggalakkan orang ramai berkahwin atau berpoligami di sempadan tetapi mahu pastikan mereka yang sudah lama berkahwin tetapi gagal mendaftar, dapat mendaftar secara mudah.

"Kegagalan mereka mendaftarkan perkahwinan dengan pejabat agama di sini boleh menyebabkan anak mereka menghadapi masalah dari sudut pendidikan, nafkah, isu kesihatan dan kewarganegaraan," katanya.

Sebelum ini, NSTP melaporkan lebih 10,000 isteri dan 30,000 anak Kedah mampu menarik nafas lega apabila mereka berpeluang mendapat pengiktirafan hak masing-masing memalui Program Pemutihan Nikah Rentas Sempadan: Mai Daftar Nikah yang dianjurkan selama enam bulan.

Penyelaras program terbabit, Mohd Nor Azim Abd Razak berkata, Kedah menjadi negeri ketiga yang berusaha membantu pasangan Islam dan mereka yang mempunyai anak untuk mendapatkan hak selepas Pahang dan Selangor.

"Usaha ini diyakini mampu menyelesaikan masalah ATST yang pada asasnya berlaku apabila ibu bapa mereka yang bernikah di luar negara tetapi gagal mendaftarkan perkahwinan mereka di negara ini," katanya.

Sumber: BH Online