Majlis Syura Ulama Pas Bermesyuarat Malam Ini


KOTA BHARU - Majlis Syura Ulama Pas akan mengadakan mesyuarat khas bagi membincangkan perkembangan semasa termasuk pendirian parti itu sekiranya parlimen tergantung di Rusila, Marang, malam ini.

Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, mesyuarat tersebut akan dipengerusikan sendiri Presiden, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

“Kelmarin kita mengadakan mesyuarat harian dan memutuskan satu mesyuarat Majlis Syura Ulama perlu diadakan malam ini.

“Mesyuarat ini akan membuat beberapa ketetapan terhadap sebarang kemungkinan yang akan berlaku, contohnya mungkin (kedudukan) parlimen tergantung,” katanya kepada Sinar Harian selepas membuang undi di Maktab Sultan Ismail, Kota Bharu, hari ini.

Takiyuddin yang merupakan penyandang kerusi Parlimen Kota Bharu ditemani isterinya, Datin Hariza Yusoff.

Menurut beliau, pucuk pimpinan parti diketuai Abdul Hadi akan mengeluarkan kenyataan terbaru selepas mesyuarat berkenaan.

Dalam perkembangan lain, Takiyuddin memberitahu, hasil tinjauan beliau berpuas hati dengan perjalanan proses pengundian PRU14 kali ini.

“Berdasarkan maklumat diperoleh, setakat ini tidak ada apa-apa insiden buruk berlaku.

“Nampak trend di seluruh kawasan pengundi keluar lebih awal mengundi, ada saluran orang muda mengalami kesesakan tetapi ia tetap berjalan lancar,” katanya.

Sumber: Awani