JIKA kebanyakan orang menggunakan alasan bulan Ramadan sebagai tempoh untuk mereka tidak bersenam, lain pula bagi pelawak Abam Bocey yang semakin bersemangat untuk menurunkan berat badan.
Abam atau nama sebenarnya Syed Umar Mokhtar Syed Mohd Redzuan akui bahawa kini dia sudah berjaya membuang berat badannya sebanyak 16.9kg sepanjang hampir sebulan mengikuti program ‘you can lose weight from home’.
Dahulu, berat Abam ialah 188.6kg dan kini dia berjaya memiliki berat badan 171.1kg.
Walaupun penat bersenam di bulan puasa, Abam tetap perlu mengikuti pelan diet yang sudah diatur khas untuknya.
“Disebabkan berpuasa, saya hanya melakukan riadah biasa. Hanya selepas solat tarawih saya akan main badminton atau berada di gimnasium untuk mengeluarkan peluh.
“Harus diingatkan bulan puasa adalah bulan ibadah dan saya berpegang kepada prinsip ibadah itu juga satu senaman,” katanya dipetik daripada portal BH Online.
Dalam masa yang sama, pelawak kelahiran Gombak, Selangor itu turut menolak dakwaan kononnya dia berusaha menurunkan berat badan disebabkan menghidapi penyakit berat badan berlebihan atau obesiti.
“Alhamdullilah, saya sihat dan tidak menghidap sebarang penyakit. Saya nekad turunkan berat badan disebabkan ada impian yang mahu saya penuhi.
“Saya menurunkan berat badan kerana ada impian berlakon filem atau drama aksi. Transformasi saya lakukan ini adalah demi karier lakonan pada masa akan datang,” tambahnya lagi.
Malah, dia turut menegaskan bahawa seandainya dia bejaya untuk menurunkan berat badan mengikut sasaran yang ditetapkan, Abam mahu menceburi bidang perniagaan berkaitan dunia kesihatan atau pun menjadi seorang model.
Abam telah dibantu oleh Coach Fadzil Shar yang bertanggungjawab untuk memastikan pelawak itu berjaya mendapatkan berat badan yang diimpikannya. –Kedahnews.com