Malaysia Akan Terus Sokong Inisiatif 'Belt And Road' Dari China


KUALA LUMPUR - Pengumuman Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, mengenai sokongannya terhadap inisiatif 'Belt and Road' China membantu mengulangi dasar pro-perniagaan kerajaan yang baharu dan meneruskan kesinambungan dalam mengukuhkan hubungan persahabatan antara China dan Malaysia.

Presiden Dewan Perniagaan Malaysia-China (MCCC), Tan Yew Sing, berkata sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), Dr Mahathir menekankan mengenai keperluan mengkaji semula projek modal China di negara ini, terutama projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang menyebabkan pergolakan dalam kalangan syarikat China dan peningkatan tuduhan anti-China.

"Sebaik sahaja memegang jawatan sebagai Perdana Menteri Malaysia yang baharu, beliau menjelaskan kerajaan baharu akan mengkaji semula semua projek utama yang dilakukan oleh kerajaan sebelum ini termasuk projek syarikat China, namun tidak bermaksud akan menghentikan modal China," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata, Dr Mahathir mengumumkan secara terbuka mengenai sokongannya terhadap inisiatif 'Belt and Road' China dan pengumuman itu tepat pada masanya di mana ia membantu dalam menekankan dasar pro-perniagaan kerajaan baharu dan kesinambungan dalam mengukuhkan hubungan persahabatan dua hala.

"Kenyataan ini bukan sahaja memberi penjelasan mengenai situasi bagi syarikat tempatan malah menjadi berita baik bagi perusahaan China," katanya.

Yew Sing berkata, memandangkan kerajaan baharu itu tidak memiliki majoriti satu pihak, maka MCCC berharap amalan pentadbiran dan dasar rejim baru terbabit akan membentuk kerajaan yang cekap dengan pemerintahan yang adil serta bakal meningkatkan daya saing negara dan memberi manfaat kepada semua kaum.

"Kami berharap kerajaan baharu ini akan terus membangunkan aktiviti ekonomi dan perdagangan antara Malaysia dan China," katanya.

Sebelum PRU-14, perwakilan MCCC yang diketuai Yew Sing membuat kunjungan hormat kepada Dr Mahathir di mana kedua-dua pihak bertukar pandangan mengenai isu berkaitan syarikat dan pendidikan China.

Pada mesyuarat itu, Dr Mahathir menegaskan bahawa beliau tidak menentang syarikat China dan hubungan rapat yang diwujudkan dengan negara itu.

Sumber: BH Online