Mana Ada Kahwin Dua - Ustaz Don


KUALA LUMPUR - Penceramah selebriti, Ustaz Don Daniyal Don Biyajid, 34, terkejut apabila dikaitkan kononnya mendirikan rumah tangga buat kali kedua.

Don berkata, sekiranya benar, dia tidak akan menyembunyikan kenyataan itu, apatah lagi namanya dikenali ramai dan pasti perkara itu sampai ke pengetahuan umum.

"Mana ada saya kahwin dua? Kalau betul saya kahwin lagi, saya tak akan sorok. Untuk apa sembunyi kerana lambat-laun pasti orang akan tahu.

"Pasti ada yang akan dedahkan kerana saya dikenali ramai. Lagipun, perkahwinan itu perkara yang baik. Setakat ini, tidak pernah pula saya dengar gosip seperti ini. Terkejut juga saya apabila ditanya," selorohnya.

Diusik adakah isterinya, Husna Mohd Zahry, 29, akan teras hati sekiranya mendapat tahu mengenai gosip itu, Don berkata, sebagai wanita, berita seperti itu pasti menimbulkan perasaan kurang senang.

"Kalau isteri dengar gosip seperti ini, dia mungkin akan marah. Tetapi, saya tahu dia bagaimana. Jika ada perkara yang tidak pasti, dia akan bertanya dahulu.

"Jika saya tidak buat, saya akan kata tidak. Dakwaan itu memang tidak benar kerana saya tidak pernah berkahwin dua," katanya.

Dalam perkembangan lain, Don akan mengendalikan program Al Kauthar Sentuhan Qolbu bermula 14 Mei ini, setiap Isnin hingga Ahad, jam 7 malam di Astro Oasis dan Astro Maya HD.

Sumber: BH Online