Mansuh GST: Harga Barang Boleh Naik


KUALA LUMPUR - Langkah pemansuhan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) seperti dijanjikan kerajaan Pakatan Harapan boleh menyebabkan harga barang terus meningkat sekiranya langkah tersebut tidak dikendalikan dengan baik.

Menurut Pakar Percukaian Universiti Tun Abdul Razak, Prof. Dr. Barjoyai Bardai, cadangan kerajaan untuk kembali kepada Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) menyebabkan kadar cukai yang dikenakan adalah lebih tinggi, iaitu sebanyak 10 peratus dan mungkin akan berlaku masalah cukai berganda yang memberi kesan kenaikan harga barang.

“Pada permu­laan, pemansu­han ini menguntungkan pengguna ke­­rana baki stok produk yang ada pada peniaga tidak akan dikenakan cukai, maka sepatutnya harga lebih rendah kecuali jika peniaga mencatut harga.

“Namun setelah stok habis, cukai baharu sebanyak 10 peratus akan dikenakan. Ketika ini, kesan terhadap harga barang akan bergantung kepada peniaga kerana jika cukai ini dipindahkan kepada pengguna maka harga barang akan naik. Namun, jika peniaga sanggup menyerap kos cukai tersebut, ia hanya akan memberi kesan kepada keuntungan mereka,” katanya ketika dihubungi Ming­guan Malaysia di sini semalam.

Menurut beliau lagi, untuk mengelakkan berlaku masalah cukai berganda akibat kesan ‘bola salju’ (snowball effect), kerajaan perlu memberi kredit cukai, seperti yang digunakan sistem GST.

“Ketika pelaksanaan SST dahulu, terdapat keadaan di mana pihak kilang, pemborong dan peruncit kesemua­nya mengenakan cukai ke atas produk, menyebabkan kenaikan harga akibat cukai yang berganda.

“Untuk memperbaiki sistem ini, kerajaan perlu membenarkan pihak kilang dan pemborong untuk menuntut semula cukai yang telah dikenakan, kaedah yang sama digunakan untuk GST sekarang selain daripada memastikan pemantauan yang berkesan,” ujarnya.

Memansuhkan GST merupakan salah satu komitmen yang dijanjikan kerajaan PH dalam manifesto 10 Janji 100 Hari mereka.

Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad juga pernah berkata, kerajaannya akan me­ngembalikan SST untuk menampung kesan pemansuhan GST dalam sebuah temu bual bersama portal The Malaysian Insight, tahun lalu.

Dalam nada yang sama, penganalisis ekonomi, Dr. Madeline Berma pula berpandangan, harga barangan tidak semestinya akan turun seperti yang dijang­kakan ramai pihak, malah ia akan memberi kesan kepada negara secara makro.

Menurut beliau, pemansuhan GST menyebabkan kerajaan perlu mendapatkan ka­edah baharu untuk menjana pendapatan kerana ia melibatkan kehilangan hasil sehingga kira-kira RM41 bilion.

“Selain daripada mengenakan semula SST, kerajaan perlu juga mencari sumber hasil yang lain sama ada dengan memperkenalkan cukai baharu seperti Cukai Keuntungan Modal (CGT), meningkatkan kadar cukai korporat, mengurangkan perbelanjaan terma­suk perbelanjaan pembangunan, menguruskan kewangan kerajaan secara berhemah dan meningkatkan hasil negara dari sumber bukan cukai se­perti hasil eksport,” katanya.

Sumber: Utusan Online