Mavcom Buat Laporan Polis Dakwaan Tony Fernandes


KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) berkata ia telah membuat laporan polis terhadap Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes berhubung dakwaan mengenai pembatalan penerbangan dalam tempoh berlangsungnya pilihan raya umum yang baru berlalu.

Dalam satu kenyataan semalam, Mavcom menafikan dakwaan yang ia telah memberitahu AirAsia Berhad agar membatalkan kesemua 120 penerbangan tambahan yang dipohon oleh syarikat penerbangan itu semasa pilihan raya.

Katanya, Suruhanjaya itu sebenarnya telah meluluskan kesema 66 penerbangan tambahan yang dipohon oleh AirAsia pada 23 April.

“Suruhanjaya itu menganggap tuduhan Tan Sri Tony Fernandes bahawa Mavcom memberitahu AirAsia supaya membatalkan 120 penerbangan tambahan yang sepatutnya dapat membawa 26,000 penumpang selain penerbangan biasa adalah ‘tidak berasas dan berniat jahat,” kata kenyataan itu.

Kenyataan itu menjelaskan Mavcom tidak pernah mengeluarkan sebarang arahan kepada AirAsia atau mana-mana syarikat penerbangan lain mengurang atau membatalkan sebarang penerbangan yang memenuhi syarat-syarat kawal selia. – BERNAMA