PENDANG - Pentadbiran Majlis Daerah Pendang (MDP) memohon kerajaan Pakatan Harapan (Harapan) meneruskan agenda pembinaan Hospital Pendang yang sudah sekian lama tergendala.
Yang Dipertua MDP, Zaid Ahmad berkata, pembinaan hospital ini sangat penting untuk rakyat sekitar daerah Pendang.
Menurutnya, rakyat kini terpaksa menerima rawatan di Hospital Sultanah Bahiyah yang jauhnya sekitar 30 kilometer.
“Selain pembinaan hospital, kerajaan terdahulu turut merancang bina sebuah masjid di daerah Pendang ini,” katanya.
Beliau berkata, pihak MDP sangat berharap kesemua perancangan ini dapat dijalankan dengan sempurna bagi memberi kebaikan kepada seluruh masyarakat di daerah Pendang.
“Kerajaan dahulu hanya meluluskan RM110 juta dengan keluasan kawasan pembangunan sebanyak 20 ekar (8 hektar).
“Kalau boleh kita nak minta tambah lagi peruntukan untuk pembangunan keseluruhan tanah seluas 43 ekar (17.2 hektar),” katanya kepada Sinar Harian.
Sementara itu, penduduk, Sobri Mat Zain, 52, berkata, pembinaan hospital ini satu keperluan dan ia tidak seharusnya dipolitikkan.
“Siapa yang jadi kerajaan dialah yang patut bina hospital ni demi kepentingan rakyat,” katanya ketika ditemui di tapak pembinaan hospital.
Katanya, penduduk sudah cukup terbeban apabila perlu keluar jauh semata-mata untuk mendapatkan rawatan.
“Kalau ada hospital dalam daerah sendiri senang la sikit nak berurusan,” katanya.
Sebelum ini, projek Hospital Pendang ini hangat diperkatakan sejak proses pengambilan tanah pada 1989 yang disasarkan dibina segera di bawah RMK10 namun telah tertangguh beberapa kali atas sebab tertentu.
Kawasan hospital seluas 16 hektar itu akan dibangunkan secara berperingkat dan pada peringkat awal pembangunan akan dijalankan di kawasan seluas empat hektar.
Bangunan setinggi empat tingkat itu dijangka mengambil masa dua tahun enam bulan untuk disiapkan iaitu jangkaan pada November 2021.
Pembinaan Hospital Pendang juga memudahkan penduduk Pendang menerima rawatan dan tidak lagi perlu menyusuri perjalanan sejauh 30 kilometer untuk sampai ke Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar.
Sumber: Sinar Online