Merekalah Katak Lompat Sana-Sani, Bukan Kami – Tsu Koon


GEORGE TOWN – Semua calon BN Pulau Pinang dipilih dari negeri ini dan mereka telah berkhidmat di kawasan pilihan raya selama bertahun-tahun, kata bekas Presiden Gerakan Tan Sri Dr Koh Tsu Koon.

Beliau berkata, jika pembangkang yang diterajui DAP mahu menjadikan calon yang tidak dipilih dari kawasan pilihan raya yang mereka bertanding sebagai satu isu, maka mereka (DAP) harus cerminkan diri sendiri terlebih dahulu.

“DAP harus cermin diri sendiri, calon mereka melompat ke sana sini termasuk Lim Kit Siang dari Melaka ke Petaling Jaya kembali ke Melaka, kemudian datang ke Pulau Pinang, Perak dan sekarang Johor.

“Mereka semuanya katak, saya fikir merekalah yang paling banyak melompat,” katanya selepas mengiringi calon Barisan Nasional (BN) untuk bertemu dan beramah mesra dengan pengunjung pasar di Mount Erskine di sini semalam.

Tsu Koon mengulas ceramah kempen pembangkang, dengan pemimpin DAP mendakwa calon BN di Pulau Pinang tidak dipilih dari kawasan pilihan raya di negeri itu.

Beliau yang juga bekas ketua menteri Pulau Pinang, berkata semua calon yang dipilih untuk bertanding adalah dari Pulau Pinang dan jika mereka bukan kelahiran Pulau Pinang sekalipun, mereka sudah lama menetap dan tinggal di negeri ini.

Sebagai contoh, beliau berkata Teng Chang Yeow, calon BN bagi kerusi Dun Tanjong Bunga, telah belajar dan menetap di Pulau Pinang selama bertahun-tahun, tidak seperti calon DAP, ada yang hanya datang ketika pilihan raya umum semakin hampir.

Teng, yang juga pengerusi BN Pulau Pinang, dicabar oleh Zairil Khir Johari (DAP), Chua Cheong Wee (PRM) dan Lee Zheng Yong (MUP) dalam pertembungan empat penjuru.

“Berdasarkan perlembagaan, selagi anda pengundi berdaftar di negeri ini, anda boleh bertanding di negeri ini,”katanya.

Sementara itu, Tsu Koon berkata beliau akan membantu calon BN semasa kempen PRU14 dan akan menghadiri ceramah Teluk Intan malam ini.

“Saya sudah pun bersara tetapi saya kembali untuk menyokong golongan muda di bawah kepimpinan Teng dan saya merayu kepada rakyat Pulau Pinang untuk memberi mereka peluang sekurang-kurangnya untuk memantau dan menegur dalam Dewan Undangan Negeri,” katanya.

Beliau berkata suara rakyat perlu dibawa ke Dewan Undangan Negeri, terutama di Tanjong Bunga apabila terdapat pelbagai isu yang perlu diselesaikan.

BN bertanding di semua 13 kerusi Parlimen dan 40 kerusi Dun di Pulau Pinang dalam PRU14. – Bernama