Minta Baju Putih Petanda Ajal


SIK - Seorang wanita tidak me­nyangka permintaan suami­nya membelikan sepasang baju Melayu berwarna putih untuk dipakai hari ini menjadi petanda pergi buat selama-lamanya setelah maut dalam kemalangan di Jalan Kampung Syed, Sungai Tiang dekat Pendang kelmarin.

Menurut Noorlela Ismail, 37, dia melihat perubahan pada mangsa, Zulkifly Abu Bakar, 40, yang kurang ceria dan tidak banyak bercakap beberapa hari lalu.

“Saya merasa agak pelik de­ngan sikapnya, apatah lagi arwah memilih baju Melayu putih ketika kami membeli-belah untuk persiapan hari raya Jumaat lalu dan meminta saya membasuhnya kerana mahu memakainya semalam.

“Rupanya, itu adalah petanda dia akan pergi dahulu, tambah sedih pada bulan Ramadan ini, dia pergi meninggalkan saya serta empat lagi anak-anak yang masih kecil,” kata Noorlela ketika ditemui di rumahnya di Kampung Simpang Tiga Begia, Jeneri, di sini semalam.

Dalam kejadian pada pukul 2.30 petang itu, Zulkifly yang juga merupakan kakitangan Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (Keda) meninggal dunia di tempat kejadian setelah kereta Perodua Kancil dinaiki bersama dua anaknya, Muhammad Anas Qhuzairy, 13, dan Muhammad Aqil Haziq, 7, bertembung dengan sebuah pikap Isuzu Dmax.


Menurut Norlela, kebiasaannya arwah membawa lori untuk beli barangan jualan kedai makanan ternakan mereka di Begia, Jeneri, namun pada hari kejadian dia mahu membawa kereta tersebut.

Bagaimanapun, Noorlela reda dengan kejadian yang menimpanya dan bersyukur dua anak­nya cedera dan dirawat di Hospital Sultanah Bahiyah Alor Setar dekat sini.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Pendang, Deputi Superintenden Fadzil Hashim berkata, kejadian dipercayai berlaku apabila pemandu pikap berkenaan gagal mengawal kenderaannya ketika tiba di lokasi kejadian lalu terbabas ke laluan bertentang dan merempuh kereta dinaiki tiga beranak itu.

“Jenazah mangsa dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah untuk bedah siasat,” katanya.

Sumber: Utusan Online