RAMBUT Okiku atau ‘Anak Patung Berhantu di Hokkaido’ yang terletak di sebuah kuil di Iwamizawa, Jepun didakwa tumbuh seperti rambut manusia.
Ia juga dikatakan mempunyai semangat seorang budak perempuan.
Terdapat banyak cerita legenda mengenai Okiku, tetapi yang paling popular adalah kisah anak patung Jepun tradisional itu dibeli oleh Eikichi Suzuki, seorang budak lelaki berumur 17 tahun dari Hokkaido, yang membelinya untuk adik perempuannya pada tahun 1918.
Budak perempuan itu, Kikuko yang berusia tiga tahun ketika itu, dikatakan sangat menyukai anak patung tersebut, membawanya ke mana sahaja dia pergi dan tidur dengannya setiap malam.
Tetapi, selepas Kikuko meninggal dunia ketika dia masih kecil, keadaan berubah menjadi aneh dan menyeramkan.
Keluarga Kikuko telah menyimpan anak patung itu di sebuah kuil kecil sebagai tanda mengenangnya. Mereka juga menamakannya sebagai ‘Okiku’ selepas anak perempuan mereka meninggal dunia dan mula berdoa untuknya.
Pada satu ketika, mereka melihat sesuatu yang sangat luar biasa!
Rambut anak patung ini tumbuh dan menjadi lebih panjang. Mereka menganggap keadaan ini menunjukkan anak patung itu mempunyai semangat Kikuko.
Pada tahun 1938, keluarga Kikuko memutuskan untuk berpindah dari Hokkaido dan bersetuju untuk anak patung itu kekal di pulau tersebut.
Jadi mereka meletakkan kepercayaan kepada sami-sami di Kuil Mannenji dan berkongsi rahsia menyeramkan itu dengan mereka.
Sejak itu Okiku kekal di kuil berkenaan dan orang ramai sering datang ke situ untuk melihat rambut yang dikatakan tumbuh pada patung itu, tetapi mereka tidak dibenarkan mengambil gambar.
Kini, Okiku mempunyai rambut panjang sehingga paras lutut. Ia mungkin lebih panjang, tetapi para sami sentiasa memotongnya dari semasa ke semasa.
Sebenarnya, bertindak seperti itu sangat membahayakan tetapi Grape melaporkan salah seorang sami mula melakukannya selepas bermimpi Okiku sendiri meminta rambutnya dipotong.
Sehingga kini tiada siapa dapat menjelaskan mengapa rambut anak patung itu terus tumbuh.
Sesetengah sumber mendakwa, pemeriksaan saintifik terhadap anak patung itu menunjukkan bahawa rambutnya adalah rambut manusia.
Malah ada yang mendakwa jika anda berada cukup dekat dengan Okiku dan melihat mulutnya yang separuh ternganga, anda dapat melihat giginya juga tumbuh seperti manusia.
Cerita Okiku telah menjadi ilham untuk penulisan novel, filem dan drama tradisional, yang mana unsur-unsur lebih menyeramkan ditambah.
Jadi jika anda berada di pulau Hokkaido, Jepun dan ingin melihat anak patung berhantu itu sendiri, pergilah ke Kuil Mannenji untuk bertemu Okiku, anak patung berhantu yang terkenal di Hokkaido.
Sumber: mStar Online