SHAH ALAM – Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali semalam mengutuk sekeras-kerasnya pembunuhan beramai-ramai 55 rakyat Palestin kelmarin, termasuk kanak-kanak, oleh tentera Israel dan menggesa campurtangan antarabangsa untuk menghentikan pembunuhan itu.
Beliau berkata tiada alasan yang membenarkan keganasan dan pembunuhan dilakukan sewenang–wenangnya terhadap mereka yang mendesak bagi pengembalian tanah air mereka dan pemberhentian segera ketidakadilan yang dilakukan terhadap mereka sejak sekian lama.
“Campurtangan segera antarabangsa patut dilakukan untuk menghentikan pembunuhan ini. Israel tidak harus dibiarkan melakukan keganasan sewenang-wenangnya. Rakyat Palestin telah cukup menderita, dan mereka harus dibela,” katanya dalam kenyataan semalam.
Beliau berkata apa yang menimpa rakyat Palestin kini tidak lain tidak bukan adalah tindakan pembunuhan besar-besaran.
Mohamed Azmin berkata keganasan yang mengejutkan itu menyaksikan lebih daripada 1,200 orang ditembak dan cedera semasa demonstrasi ulang tahun ke-70 Hari Nakba, atau 70 tahun “Hari Malapetaka” sempena memperingati penubuhan Israel.
“Apa yang dilakukan tentera Israel adalah suatu tindakan pembunuhan berama-ramai, menjadikan Isnin semalam hari paling kejam sejak berakhirnya Perang Gaza pada 2014,” katanya.
Memburukkan lagi keadaan, katanya, adalah tindakan memindahkan kedutaan Amerika Syarikat dari Tel Aviv ke Baltulmuqaddis yang disifatkannya suatu provokasi hebat dan penghinaan terhadap rakyat Palestin serta menjejaskan proses keamanan. – BERNAMA