Muhasabah, Baiki Kelemahan: Shahrizat


KUALA LUMPUR - UMNO akan bermuhasabah dan melakukan perubahan secepat mungkin susulan kekalahan teruk dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Ketua Wanita UMNO, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil, berkata peletakan jawatan Datuk Seri Najib Razak sebagai Presiden UMNO adalah langkah pertama untuk parti terus kekal relevan.

"Kita menerima kekalahan yang teruk ini dengan hati yang terbuka dan tenang serta bermuhasabah diri, sebab itu Najib letak jawatan.

"Ya, kita akan mengadakan 'post mortem'. Kita akan mencari dan mengenal pasti di mana kesilapan untuk memperbaiki kelemahan parti," katanya ketika ditemui di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, semalam.

Terdahulu, Najib dalam satu sidang media mengumumkan peletakan jawatan sebagai Presiden UMNO dan Pengerusi Barisan Nasional (BN) berkuat kuasa serta-merta berikutan kekalahan dalam PRU-14 itu.

Bekas Perdana Menteri itu turut mengumumkan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi akan menjalankan tugas sebagai Presiden UMNO dan Pengerusi BN manakala Datuk Seri Hishammuddin yang juga Naib Presiden akan menjalankan tugas sebagai Timbalan Presiden UMNO dan Timbalan Pengerusi BN.

Mengulas lanjut, Shahrizat berkata ketiga-tiga sayap UMNO akan terus menjadi tunjang bagi membantu Ahmad Zahid dan Hishammuddin yang dipilih untuk menerajui parti.

"Kita harus menerima realiti (kalah PRU-14) dan saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Datuk Seri Najib (Razak) yang meletakkan kepentingan parti, ahli dan rakyat lebih daripada beliau.

"Kita berharap dengan keputusan (peletakan jawatan), UMNO dapat bangkit secepat mungkin di bawah (kepemimpinan) Ahmad Zahid dan Hishammuddin," katanya.

Sementara itu, Ketua Puteri UMNO, Datuk Mas Ermieyati Samsuddin, ketika ditemui enggan memberi sebarang kenyataan.

"Saya tidak mahu komen sekarang," katanya sambil menitiskan air mata.

Sumber: BH Online