Mukhriz Enggan Sahkan Bakal Jadi Menteri Besar Kedah


ALOR SETAR - Datuk Seri Mukhriz Mahathir disebut-sebut sebagai bakal dilantik menjadi Menteri Besar Kedah yang baharu.

Desas-desus beliau akan kembali ke bumi Jelapang Padi bertiup kencang selepas Pakatan Harapan (Harapan) berjaya meraih kemenangan di 18 daripada 36 kerusi yang dipertandingkan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Bagaimanapun, sebaik diajukan soalan siapakah yang bakal dilantik sebagai Menteri Besar Kedah yang baharu, ini jawapan Mukhriz:

"Sebenarnya, kita belum lagi mendapat mandat sepenuhnya daripada pihak berkepentingan tertinggi.

"Kami masih menantikan surat pelantikan daripada kepimpinan parti," katanya pada satu sidang media khas di Bandar Stargate, di sini, semalam.

"Jadi, pada pagi ini kami belum lagi boleh membuat sebarang pengumuman berkait dengan pelantikan menteri besar," katanya.

Kini, Harapan hanya menunggu keputusan daripada kepimpinan pusat siapakah calon yang paling layak menggalas jawatan itu.

Jelas Mukhriz, terdapat lima calon yang dilihat berpotensi tetapi beliau enggan mendedahkannya.

Beliau yang merupakan bekas menteri besar Kedah, bertanding atas tiket PKR-Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) pada PRU14, menang di kerusi Parlimen Jerlun dengan majoriti 5,866 undi.

Beliau yang memperoleh 18,695 undi, menewaskan penyandang kerusi itu, Datuk Othman Aziz (BN) yang mendapat 12,413 undi, manakala Abd Ghani Ahmad (PAS) meraih 12,829 undi. 

Harapan yang terdiri daripada PKR, PPBM, DAP dan Parti Amanah Negara telah membuktikan kemampuannya apabila berjaya menang besar pada PRU kali ini, menewaskan Barisan Nasional (BN) dan Pas. 

Gabungan yang menggunakan logo PKR itu memenangi kerusi DUN Ayer Hangat, Kuah, Kota Siputeh, Bukit Kayu Hitam, Jitra, Derga, Bakar Bata, Kota Darul Aman, Alor Mengkudu, Anak Bukit, Kubang Rotan, Pengkalan Kundor, Bukit Selambau, Bakar Arang, Sidam, Lunas, Kulim dan Gurun.

Sumber: Awani