Mukhriz 'Tegur' Rafizi, Tak Perlu Bangkit Isu 'Mahathir Bukan Faktor Kemenangan PH'


Pemimpin Pakatan Harapan (PH) dinasihatkan agar tidak membuat kenyataan yang mampu menggugat hubungan baik parti dalam gabungan itu.

Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir ketika mengulas kenyataan Rafizi Ramli bahawa kemenangan dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) bukan kerana faktor Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, kenyataan itu tidak perlu dibangkitkan kerana dilihat boleh memberi kesan kepada hubungan akrab pemimpin dalam PH.


"Kadang-kadang kita lihat kesannya (kenyataan Rafizi) itu pun tidak berapa sedap, hubungan dalam kalangan ahli-ahli politik parti gabungan Pakatan Harapan ini sangat akrab dan baik.

"Jadi kita mengelak daripada apa juga unsur-unsur yang boleh ganggu gugat persahabatan yang sedia terjalin antara empat parti dan Warisan di Sabah," katanya kepada pemberita selepas majlis Penyampaian Bantuan/Sumbangan Kepada Masjid-masjid Kubang Pasu di Masjid Al-Aqla, di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Naib Presiden PKR itu semalam bahawa Dr. Mahathir bukan menjadi faktor kemenangan PH dalam PRU-14 sebaliknya isu kenaikan kos sara hidup dan pelaksanaan cukai barang dan perkhidmatan (GST).

Bekas Ahli Parlimen Pandan itu dilaporkan berkata, perkara itu terbukti berdasarkan tinjauan pasca PRU-14 Invoke yang mendapati pengundi terkesan dengan kedua-dua isu tersebut berbanding dengan ketaatan mereka kepada Dr. Mahahir.

Mengulas lanjut, Mukhriz yang juga Timbalan Presiden PPBM percaya kenyataan Rafizi tersebut tidak mewakili semua parti dalam gabungan PH itu.

"Itu mungkin pandangan beliau, kami (PPBM) ada pandangan lain. Kita rasakan bahawa soal faktor kemenangan itu, benda itu sudah tidak timbul lagi sebenarnya yang penting keputusan sudah diketahui, kerajaan sudah ditubuhkan.

"Saya kira isu-isu seperti itu tidak perlu dibangkitkan," katanya.

Sumber: Utusan