KOTA BHARU - DAP adalah musuh sebenar dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) yang sedang 'memperkudakan' parti lain termasuk Tun Dr Mahathir Mohamad bagi memecah-belah orang Melayu dan Islam di negara ini.
Justeru, Ketua Penerangan UMNO, Tan Sri Annuar Musa, berkata orang Melayu dan Islam perlu bergabung tenaga menentang DAP yang mahukan dasar sosialisme kerana agenda parti itu bukan lagi rahsia.
Calon Parlimen Ketereh itu berkata, soal agenda parti itu tidak pernah tersembunyi, malah ia dinyatakan dengan jelas melalui ucapan pemimpin tertingginya seperti Lim Kit Siang, Lim Guan Eng dan mendiang Karpal Singh sebelum ini.
Katanya, PRU adalah medan perebutan kuasa yang berjalan sekian lama di mana DAP berusaha berkali-kali dan pelbagai cara untuk memecahbelahkan orang Melayu dan Islam.
"Jangan kita lupa parti yang menentang Barisan Nasional (BN) sejak 60-an adalah DAP yang datang dari Singapura dan bertapak di bumi Malaysia. Keazaman mereka adalah untuk meruntuhkan apa yang dibina untuk negara dan bangsa kita.
"Bukan soal nak berlakon dan bersandiwara, kalau bahaya, kata bahaya, kalau harus ditentang, kata harus ditentang.
"Umat Islam, orang Melayu mesti bergabung tenaga menentang DAP. Mereka adalah parti sosialis yang memperjuangkan kesamarataan cara Singapura, this is Malaysia, bukan Singapura," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Beliau diminta mengulas mengenai kenyataan ahli seumur hidup DAP, Amran Ahmad yang mendakwa parti itu menjalankan propaganda jahat dan menyebarkan fitnah terancang menggunakan nama gabungan pembangkang PKR demi memenangi PRU-14 kali ini.
Amran yang bekerja di bahagian Biro Publisiti ibu pejabat parti itu berkata, DAP sengaja merosakkan nama kerajaan BN termasuk memfitnah Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan keluarganya dengan matlamat untuk meracuni pemikiran rakyat.
Annuar yang juga penyandang kerusi Parlimen Ketereh berkata, Malaysia adalah negara yang memberi tempat kepada semua kaum dan menggalakkan sikap saling hormat-menghormati, termasuk membabitkan kontrak sosial.
Malah, katanya, kerajaan sudah membuktikan formula itu yang menjadikan Malaysia sebagai negara yang sejahtera dan harga yang dibina terlalu mahal untuk digadaikan.
Sumber: BH Online