Nabil Sekali Lagi Tunai Umrah Malam 10 Terakhir Ramadan


PENGACARA dan pelawak, Nabil Ahmad memberitahu bahawa dia akan sekali lagi berangkat kota suci Makkah bagi menunaikan ibadah Umrah pada 7 hingga 14 Jun depan.

Justeru, perjalanan tahun ini merupakan tahun kempat berturut-turut dia mengerjakan ibadah Umrah di tanah suci umat Islam itu.

Katanya kepada mStar Online, Nabil menyifatkan dia amat bertuah kerana diberi izin oleh Allah untuk melakukan ibadah tersebut pada 10 malam terakhir Ramadan.

“Seperti mana tahun sebelumnya, saya akan ke Makkah untuk buat umrah pada 10 malam terakhir Ramadan.

“Alhamdulillah Allah murah dan permudahkan rezeki saya untuk sekali lagi buat umrah dan saya memang sentiasa ternanti-nanti untuk kembali ke sana.

“Setiap kali pulang perasaan rindu itu semakin menebal dan saya akan ambil peluang ini untuk beribadat dan memperbaiki diri,” katanya kepada portal berkenaan.

Sementara itu, sepertimana tahun-tahun yang sebelumnya, Nabil akan memastikan semua tanggungjawab kerja diselesaikan terlebih dahulu sebelum berangkat ke kota Makkah.

Bagaimanapun, Nabil hanya akan mengerjakan Umrah bersama isterinya, Nazirah Ayub dan terpaksa meninggalkan dua anak perempuannya kerana usia mereka yang masih kecil.

“Hajat hati memang nak bawa anak-anak tetapi mengenangkan mereka masih kecil jadi rasanya biarlah dahulu.

“Sekarang pun saya sibuk menyelesaikan baki rakaman program dan kerja-kerja lain sebelum ke Makkah kerana tidak mahu fikir soal kerja apabila di sana nanti,” ujarnya.

Pengacara program MeleTOP itu ditemui ketika menghadiri majlis pelancaran wajah kempen Jakel Barulah Raya di ibu kota pada Sabtu.

Menceritakan mengenai kolaborasinya bersama Jakel, Nabil berkata, baju Melayu jenama tersebut yang menggunakan namanya masih mengekalkan konsep kontemporari.

Namun begitu, baju Melayu itu menekankan kekemasan pada bahagian leher dan poket dan juga hadir dalam bentuk potongan slim fit.

Malah katanya, tahun ini baju Melayu tersebut hadir dengan sampin tenun benang sebagai pelengkap gaya.

“Keistimewaan bekerjasama dengan Jakel kerana kami tidak sekadar menyarung pakaiannya tetapi diberikan peluang memilih fabrik yang kami suka selain berkongsi idea untuk menghasilkan setiap rekaan.

“Tahun ini saya masih kekal dengan konsep seperti tahun-tahun lalu tetapi menukar kepada sampin tenun benang yang lebih selesa dan mudah dipakai,” ujarnya

Selain Nabil, selebriti lain yang turut dilantik sebagai wajah kempen tersebut ialah Ayda Jebat, Aaron Aziz, Scha Al Yahya, Awal Ashaari, Hairul Azreen, Hanis Zalikha dan Upin Ipin. –Kedahnews.com