Najib Kecewa Geledah Rumah Ambil Masa Lama


KUALA LUMPUR - Bekas Perdana Menteri, Datuk Najib Razak, terkilan kerana polis ambil 20 jam untuk geledah kediaman peribadinya di Jalan Langgak Duta, Taman Duta, di sini sehingga hari pertama ibadah puasa terganggu.

Peguam Najib, Datuk Harpal Singh Grewal, yang baru saja selesai menemui anak guamnya, berkata polis hampir selesai menggeledah kediaman itu dan hanya menunggu untuk membuka kunci peti besi berusia 20 tahun yang terletak di tingkat pertama rumah banglo berkenaan.

Katanya, polis mengambil masa untuk menyelesaikan serbuan selama 20 jam itu kerana mereka cuba memecahkan peti keselamatan berkenaan. Difahamkan, kunci peti besi itu hilang selama bertahun-tahun dan tiada barang berharga di dalamnya.

"Mereka kini cuba membuka peti besi dengan menggerudi dan kaedah lain, dalam masa sama mereka menggeledah seluruh rumah," katanya.

Harpal berkata, pihak polis pada mulanya berjanji untuk meninggalkan kediaman itu selepas mengambil tiga kotak barang seperti pakaian, hadiah dan beg tangan kira-kira jam 5 pagi.

Namun, tambah beliau, pihak polis masih menjalankan beberapa pemeriksaan sehingga jam 8.30 pagi apabila tiba-tiba mereka mengerahkan pasukan untuk membuka peti keselamatan.

"Mereka cuba membuka peti besi tetapi tidak berjaya jadi mereka mula menggerudi sehingga jam 5 pagi," katanya sambil menambah bahawa proses itu menyebabkan gangguan dan bunyi bising kepada keluarga Najib serta jiran.

"Anak guam saya ternyata kecewa dengan apa yang berlaku sejak jam 5 pagi tadi, pencarian yang dilakukan di premis dan barangan yang disita setakat ini kelihatan tidak penting.

"Kehadiran pegawai polis di kediaman secara berterusan dan penggerudian peti keselamatan menyebabkan gangguan yang tidak wajar serta tekanan perasaan kepada anggota keluarga Najib, kakitangan serta individu lain dalam kediaman itu selain mewujudkan imej buruk kepada anak guam saya, "katanya.

Tambah Harpal, serbuan yang dilakukan pada malam Ramadan itu menyebabkan kesulitan kepada keluarga dan kakitangan Najib, menafikan mereka hak untuk melaksanakan kewajipan agama mereka untuk berbuka puasa dalam suasana tenang pada hari pertama.

"Anak guam saya bersetuju untuk meneruskan kerjasama sepenuhnya kepada pihak berkuasa yang berkenaan tetapi gangguan itu kini berlanjutan selama hampir 18 jam," katanya yang turut diiringi seorang lagi peguam mewakili Najib, Hasnal Rezua Merican.

Penutupan jalan masuk menuju ke kediaman Najib turut menimbulkan ketidakselesaan kepada jiran yang menggunakan jalan berkenaan setiap hari .

Terdahulu, pada kira-kira jam 2.40 petang tadi, dua lelaki dipercayai tukang kunci termasuk seorang dengan beg hitam tergalas di bahunya, dilihat memasuki rumah Najib.

Difahamkan, tukang kunci itu dipanggil pihak polis selepas pasukan serbuan yang menemui peti besi gagal membukanya.

Sumber: BH Online