Najib Mohon Maaf Tidak Dapat Jumpa Rombongan Ahli UMNO Tanjung Malim


KUALA LUMPUR - Datuk Seri Najib Razak meminta maaf kepada rombongan ahli UMNO Tanjung Malim kerana tidak dapat bertemu dengan beliau, Isnin.

Bekas perdana menteri itu merakamkan permohonan maaf berkenaan menerusi catatan di laman Twitter rasmi beliau, semalam.

"Sampaikan salam saya kepada ahli-ahli UMNO Tanjung Malim, @KhusairiTgMalim . Saya mohon maaf atas kesulitan semalam, disebabkan ada urusan yang perlukan perhatian. Insya-Allah jika berpeluang dalam masa terdekat kita bertemu lagi... " katanya.

Semalam, kira-kira 40 orang ahli UMNO Tanjung Malim, Perak terpaksa pulang hampa selepas gagal menemui Najib di kediaman bekas perdana menteri itu di Jalan Langgak Duta, di ibu negara selepas menunggu hampir sejam.

Rombongan berkenaan diketuai Ketua UMNO Bahagian Tanjung Malim, Mohd Khusairi Abdul Talib.

Salah seorang ahli UMNO Tanjung Malim yang enggan dikenali berkata, rombongan 40 ahli UMNO itu datang menaiki sebuah bas.

Mereka tiba di rumah Najib kira-kira jam 3.30 petang dan menunggu di luar pagar rumah sehingga 4.20 petang namun kecewa kerana tidak dapat bertemu beliau.

Sumber: BH Online